Risik Pada Hati
Bahagia tidak perlukan bukti.
Bahagia tidak sesekali akan menjadi beban.
Bahagia juga tidak bersyarat.
Bahagia bukan tentang apa yang perlu kita pertahankan.
Lebih dari itu, bahagia itu tentang apa yang perlu kita perjuangkan…
RISIK PADA HATI
Dimana bahagia itu sedang menanti?
Di dalam jiwa-jiwa yang sentiasa bersyukur?
Atau…
Di dalam hati-hati yang sentiasa berteka-teki?
Penulis: Hanni Ramsul
Terbitan: Teratak Kasih Publication
ENTAH kenapa, canggung rasanya langkah, sebaik sahaja kaki melangkah ke hadapan rumah yang tersergam gah ini. Kisah yang dikutip sejak dia mula menjejakkan kaki di rumah ini, terasa masih kuat menghiris sekeping hatinya.
“Mama hantar sampai sini saja ya, sayang.” Umar berpeluk tubuh sambil melentokkan kepala. Tanda protes.
“Jom aaa, mama. Mama…maaa.” Dia tersenyum kelat. Wajah Umar dipandang bersama rasa yang bercampur-baur. Sedih dan sayu. Dia menjengah. Sepi. Kemudian dia pandang wajah Umar yang nampak berharap benar.
“Mama dah lambat sangat nak pergi kerja ni. Nanti, mama call Umar. Okey?” Umar sudah separuh terlentok kepalanya. Ada rasa serba-salah tetapi, dia tahu dia tidak boleh lembut hati.
Wajah Umar yang nampak sedikit kecewa itu, diusap lembut sambil mencium kedua-dua belah pipi anak itu. Lama kucupannya menandakan beratnya hati mahu berpisah dengan anaknya itu. Tetapi, apa kan daya. Kesempatan yang diperoleh ini pun sudah dirasakan sangat besar. Sekurang-kurangnya dia masih boleh bertemu dengan Umar setiap hujung minggu sekali. Sudah cukup untuk menghilangkan rasa rindu yang sebenarnya tidak pernah surut pun.
“Tak bolehlah sayang. Mama nak kena pergi kerja dulu. Nanti kita jumpa lagi, ya?”
Lambat-lambat Umar mengangguk. Berat hati, namun anaknya ternyata seorang anak yang patuh. Mendengar kata. Sekuntum senyum diukir sebelum dia memimpin tangan Umar menuju ke pintu pagar yang sedikit terbuka. Pegangan tangan dilepaskan. Tegak dia di situ menunggu Umar masuk ke kawasan rumah.
“Aisya?”
Dia kaku. Mendengar namanya dipanggil, dia mengangkat muka perlahan-lahan.
“Kenapa berdiri kat situ je? Marilah masuk.”
Liur ditelan terasa pahit. Wajah tenang di hadapannya itu dipandang dengan rasa serba-salah.
“Abah…” Dalam tidak mahu, dia tampil mendekat sambil menghulurkan tangan. Perlahan bersalaman dengan perasaan yang bercampur-baur.
“Masuklah dulu.”
Laju dia menggeleng.
“Aisya nak cepat ni. Dah lambat nak pergi kerja.”
Haji Kasim tersenyum nipis.
“Tak apalah. Dah sampai kan? Marilah masuk dulu. Takkan dah tak sudi nak jumpa kami lagi? Marilah masuk.”
Sekali lagi dia menggeleng. Tidak terlintas rasa itu di hatinya. Cuma, dia tidak gagah untuk terus berada di sini. Biarlah dia terus jaga batasnya. Rumah besar ini, bukan tempatnya. Malah tiada ruang pun untuknya di sini
“Kami ada buat salah ke, sampai Aisya langsung tak nak tengok muka kami dah?”
Lebih laju gelengannya kali ini.
“Tak. Jangan cakap macam tu, abah. Abah dengan umi tak ada salah apa pun pada Aisya. Janganlah cakap macam tu. Sedih Aisya dengar. Aisya dah lambat nak pergi kerja ni. Itu sebabnya. Tak ada sebab lain, abah. Lain kali Aisya singgah ya.”
Senyum Haji Kasim sedikit melebar.
“Abah tak percaya. Hari ni pun, ada depan rumah abah ni, sebab Husin tak dapat jemput Umar, kan?”
Aisya diam. Tebakan bapa mentuanya itu sangat tepat. Kalau tidak kerana pemandu bapa mentuanya itu sedang bercuti, memang dia tidak akan jejakkan kaki di sini.
“Umar… ajak mama masuk. Nenek ada kat belakang sana. Cakap dengan mama, ramai yang tunggu mama balik ke sini.”
Muktamad. Haji Kasim berlalu. Dia tercegat. Perlukah dia akur? Sungguh dia tidak mahu berlama di sini. Bapa mentuanya yang sudah agak jauh melangkah, dipandang seketika. Sangat biadab rasanya kalau dia tidak patuh pada pelawaan itu. Perlahan dia menarik nafas. Mungkin dia boleh singgah menyapa seketika kemudian terus berlalu. Tidak lama. Cuma sebentar. Hati berbisik sendiri. Meyakinkan diri sendiri.
“Mama?”
Aisya tersentak. Umar sudah menghulurkan tangan. Dia mengukir senyum yang jelas dipaksa sebelum memaut jemari kecil milik Umar. Melangkah mengikut langkah yang diatur oleh Umar. Sambil itu matanya liar memerhati. Rumah ini tidak banyak berubah. Yang berubah cuma perabot dan susun aturnya.
“Pat arrr maaa (cepatlah mama).”
Aisya diam tidak menjawab. Cuma, dari jauh dia melihat Hajah Wardah sedang duduk menikmati sarapan barangkali di tepi kolam.
“Nek!” Pegangan di tangannya terlepas sudah. Umar girang berlari mendapatkan neneknya.
Hajah Wardah yang menyedari kedatangan cucunya, terus bangkit bersama senyum lebar. Dari jauh mendepang tangan menanti Umar singgah ke pelukannya. Erat tubuh kecil itu dipeluk, sebelum dileraikan. Tersenyum pada cucu yang bijak tingkah lakunya. Tanpa disuruh, jemarinya ditarik lalu dikucup.
“Rindunya nenek kat cucu nenek ni. Umar rindu nenek tak?”
Umar tergelak sambil mengangguk. Aisya diam memandang. Langkah diatur lambat-lambat.
“Umi…”
Hajah Wardah mengangkat muka. Jelas wajah itu sedikit terkejut sebelum senyum lebar terukir di bibirnya. Aisya turut melarik senyum.
“Aisya… lama sangat umi tak jumpa Aisya…”
Aisya menghulur tangan, namun tangan yang terhulur dibiarkan sahaja kerana wanita itu terus menerpa dan memeluknya. Aisya kaku seketika. Erat pelukan Hajah Wardah bagai tidak mahu melepaskannya.
“Rindunya umi…”
Aisya tersenyum nipis sebaik pelukan terlerai.
“Umi sihat?”
“Macam nilah. Alhamdulillah. Aisya bukan ingat pada kami pun. Pergi tinggalkan kami macam tu saja, kan?”
“Bukan macam tu umi…” kata-katanya terputus di situ.
Bukan macam tu? Kalau bukan begitu bagaimana pula? Memang dia yang ingin pergi jauh dari keluarga ini. Memang dia yang membuat keputusan untuk pergi.
Hajah Wardah tersenyum.
“Dah, tak payah cakap pasal ni lagi. Dah alang-alang sampai sini mari… temankan umi dengan abah sarapan.” tangan menantu ditarik lembut.
“Aisya tak boleh lama ni. Memang datang sebab nak hantar Umar aje ni. Tadi abah call cakap dia tak berapa sihat nak jemput Umar. Abang Husin pulak cuti, abah cakap. Jadi…”
“Tak apalah. Dah sampai kan? Apa salahnya duduk sekejap,” belum habis kata-katanya Hajah Wardah sudah mencelah. Menarik lengannya menuju ke meja bulat di tepi kolam. Membuat dia semakin resah. Umar sudah diam di kerusi sambil mengunyah roti bakar.
“Duduk.”
Dengan perasaan serba-salah dia akur. Dalam rasa gundah dia tersentak sebaik mendengar satu suara memecah suasana pagi. Sayup-sayup tetapi suara itu begitu kuat menangkap tangkai jantung. Membuat jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Dia tahu suara itu milik siapa. Terdengar rungutan berbaur bebelan sesekali sampai ke hujung anjung luar rumah itu.
“Hurmm… adalah yang dia tak jumpa cari tu. Sejak Aisya pergi, dah tak boleh pandai nak sabar dah suami Aisya tu.”
Aisya diam.
“Umar pergi panggil papa. Ajak papa sarapan dulu.” Hajah Wardah memberi arahan yang membuat kerusi yang didudukinya tiba-tiba menjadi panas.
“Otay, nek.”
Aisya tersenyum mendengar pelat percakapan Umar. Patuhnya anak kecil ini. Terus melangkah separuh berlari meninggalkan dia dan neneknya.
“Aisya minta diri dulu ya, umi. Nak pergi kerja ni.”
Hajah Wardah tersenyum.
“Masuk lambat sikit tak apa kan?” tenang Hajah Wardah bersuara.
Aisya melarik senyum. Senyum untuk tetap dengan kemahuannya. Dia tidak boleh berada lebih lama di sini.
“Tak nak jumpa Adam kejap?”
Aisya menggeleng. Kali ini dia jujur. Memang dia tidak mahu bertemu dengan lelaki itu. Hatinya tidak kebal untuk berdepan dengan lelaki itu.
“Lain kali Aisya datang lagi jumpa umi ya? Aisya minta diri dulu.”
Melihat wajah Aisya yang jelas langsung tidak selesa, akhirnya Hajah Wardah mengangguk perlahan. Tidak sampai hati melihat kekalutan Aisya yang mahu mengelak. Walau banyak perkara yang mahu dia gali daripada menantunya itu, dia akur apabila Aisya langsung tidak mahu beralah.
“Janji nanti datang lagi jumpa umi?”
“Insya-ALLAH umi. Terima kasih umi,” balas Aisya lega. Segera dia mengangkat punggung. Mahu segera beredar. Pantas dia mendekati Hajah Wardah sambil perlahan mengucup jemari wanita itu.
Sambil menarik nafas lega, dia mengangkat muka. Bersedia untuk melangkah meninggalkan Hajah Wardah. Namun, sebaik berpaling jantungnya hampir gugur ke bumi.
Tubuh itu…wajah itu… kini sudah berdiri di hadapannya. Terlambat! Jantung berdegup kuat. Apa yang perlu dia lakukan saat ini? Terus berlalu? Atau dia harus menyapa?
“Aisya…”
Bergetar jiwanya saat namanya teralun di bibir lelaki itu. Lamanya dia tidak mendengar namanya disebut oleh lelaki ini. Dan, lamanya dia tidak mendengar suara lelaki ini. Tidak mungkin dia masih menyimpan sisa-sisa perasaan buat lelaki ini. Semuanya sudah berakhir. Dia sentiasa meyakinkan hati sendiri yang semuanya sudah berakhir. Menutup segala gundah di hati, dia tersenyum kecil.
“Saya pergi dulu. Dah lambat,” terus dia melangkah meninggalkan Adam. Tidak lagi mengharapkan apa-apa reaksi daripada lelaki itu. Yang dia tahu cuma satu, dia perlu berada jauh daripada tempat ini secepat yang mungkin! Bersama debar di dada yang menggila, dia terus melangkah tanpa menoleh lagi.
Adam pula terus memandang. Tingkah Aisya seperti pisau yang menghiris sekeping hatinya. Nampaknya Aisya benar-benar sudah melupakannya. Aisya yang hatinya mahu kenal ternyata sangat berbeza dengan Aisya yang sebenarnya.
“Tak salah kalau kamu kejar dia.”
Lamunannya putus mendengar suara itu. Perlahan dia menghela nafas sebelum berpaling mencari wajah ibunya.
“Dia dah tak peduli lagi pada saya, kenapa saya kena kejar dia?”
Hajah Wardah menggeleng.
“Jangan macam tu.”
Adam tersenyum nipis.
“Umi tak suka tengok keadaan kau orang ni.”
Adam diam. Diam memujuk hatinya yang tersapa rajuk diacuhkan oleh Aisya.
“SEDIH betul hidup kau ni, kan? Macam tak boleh terima kenyataan. Tak payahlah cakap nak usaha macam-macam. Bukan setahun dua kau kahwin dengan Abang Adam. Kalau nak mengandung, dah lama kau mengandung. Memang dah terbukti kau memang tak mampu nak mengandung. Tapi, masih tak boleh terima kenyataan, kan?”
“Kau lagi tak boleh terima kenyataan, kan? Dah bertahun-tahun Abang Adam tu hidup bahagia dengan aku, masih juga kau tak boleh terima kenyataan yang Abang Adam tak pernah simpan perasaan pun pada kau.”
“Amboi… bukan main confident kau punya ayat, kan? Well… cinta kan boleh disemai. Kau kena ingat satu benda tu. Aku ulang ya. Cinta boleh disemai. Kalau kau tak mampu menyemai benih Abang Adam dalam rahim kau, kau kena ingat, aku mampu menyemai benih cinta aku kat hati Abang Adam nanti. Jadi, jangan over confident sangat ya.”
Perlahan dia menyentuh perutnya yang rata. Adam tidak pernah persoalkan tentang keadaannya itu. Ibu bapa Adam juga tidak pernah persoalkan. Tetapi, hatinya gusar. Jiwanya resah hanya kerana perut ratanya ini. Kalau dulu, rasa gusarnya itu hanyalah seperti hembusan angin petang yang menyapa.
Tetapi kini, gusarnya sudah menjadi seperti pusaran taufan yang membolak-balikkan seluruh perasaan dan seluruh susun atur hidupnya yang selama ini sangat membahagiakannya. Kata-kata Erra bagaikan torehan dalam yang merobek teruk hatinya. Dalam usaha untuk tidak mengambil peduli setiap kata-kata gadis itu dia tetap tewas.
Hembusan nafas di telinga menyedarkannya. Tawa rendah Adam menyapa telinga. Dia berpaling. Memandang wajah Adam yang sentiasa gembira.
“Kenapa ni? Gosok-gosok perut. Lapar lagi?”
Hayfa mengerling. Adam tersenyum.
“Ayfa bencilah…” Bersama wajah kelat dia mula merungut.
Mendengar rungutan itu senyum Adam semakin lebar. Riak wajah Hayfa bagai menceritakan segala yang tersimpan di hati wanita itu. Perlahan dia melabuhkan punggung di sisi Hayfa.
“Benci abang? Sampai hati.”
Hayfa mengerling. Perlahan dada Adam disiku. Adam memang sengaja mengusiknya dan dia pula langsung tidak terusik. Adam berpura-pura tidak faham akan luahannya.
“Kenapa dalam ramai-ramai sepupu abang, hanya dia seorang je yang rajin sangat jadi tetamu rumah ni? Dan, kenapa dia jadi tetamu rumah ni hanya bila kita balik ke sini?”
“Nak abang siasatlah ni?”
Kerlingan Hayfa sudah bertukar menjadi satu jelingan tajam.
“Abang suka main-main macam ni.”
Keluhan kecewa itu membuat senyum Adam pudar perlahan-lahan. Wajah isterinya ditatap dalam-dalam. Bukan dia tidak faham akan apa yang Hayfa rasa. Tetapi, dia cuba alihkan perhatian Hayfa daripada terus memikirkan hal-hal yang hanya akan mengeruhkan lagi emosi isterinya itu. Jemari Hayfa disentuh. Dielus lembut sebelum dibawa ke bibir.
“Psstt…”
Hayfa menoleh mendengar panggilan separuh berbisik itu. Berlaga pandang dengan renungan Adam yang sentiasa membahagiakannya.
“I love you.”
Spontan bisikan itu menjemput senyum di bibir Hayfa. Adam akan sentiasa menjadi seorang Adam. Adam yang tidak pernah gagal membuat hatinya berbunga-bunga.
“Abang cintakan Ayfa. Bermakna abang cintakan wajah Ayfa yang sentiasa cantik ini. Abang cintakan Ayfa yang tinggi lampai ini. Abang cintakan Ayfa yang hidung tak berapa nak mancung ini. Abang cintakan Ayfa yang bila marah, nampak garang sangat ni.”
Hayfa mengerutkan kening sambil menampar perlahan lengan suaminya.
“Abang nak cakap hidung Ayfa penyet macam ayam penyet? Nak cakap muka Ayfa ni garang?”
Adam menjongket bahu.
“Ya… mungkin tak terlalu sempurna. Tapi sebab itu sebahagian daripada Ayfa, abang tetap sangat cintakan semua tu…”
Hayfa tersenyum nipis. Mula memahami maksud yang cuba Adam sampaikan.
“Ayfa yang tak mampu mengandung ni pun satu lagi hal yang tak sempurna kan? Dan abang tetap cintakan Ayfa.”
Adam mengelus lembut jemari isterinya.
“Abang dan Ayfa sama-sama tahu hakikatnya. Hakikatnya, kita belum ada anak bukan sebab Ayfa atau abang yang tak sempurna. Sebabnya kita belum ada rezeki.”
“Tapi, dia orang…”
Adam menggeleng perlahan.
“Buat apa kita nak jelaskan apa-apa pada orang yang tak akan terima apa pun penjelasan kita? Mereka seronok menilai. Biarkan mereka. Kalau kita lawan pun, kita tak akan menang. Sebab, mereka hanya dengar apa yang mereka nak dengar saja. Tak guna kita jelaskan apa-apa pun.”
Hayfa diam. Kata-kata Adam selalunya akan membuat dia berasa lebih tenang. Membuat dia berfikir semula dengan lebih terbuka. Tetapi selalunya, nasihat itu tidak akan kekal melekat di hatinya. Apabila hati disakiti lagi, dia akan menjadi sedih dan kecewa lagi.
“Entahlah, bang. Ayfa sakit hati. Sampai hati Erra cakap macam tu.”
“Erra cakap apa? Cuba beritahu abang.”
Hayfa mengeluh perlahan. Lama memandang wajah Adam. Akhirnya dia menggeleng perlahan. Tidak ada gunanya bercakap tentang apa yang diperkatakan oleh Erra. Terang-terang Erra memang sengaja mahu menyakitkan hatinya. Tidak ada kebaikan untuk dia ulas semula kata-kata jahat Erra.
“Tak pentinglah. Ulang balik pun buat sakit hati sendiri je. Lupakanlah.”
“Betul ke boleh lupa ni?”
Hayfa melarik senyum.
“Bila abang pujuk macam ni cakap-cakap Erra tadi dah hilang entah ke mana.” Soalan Adam dijawab bersama senyum yang meleret.
Adam turut sama tersenyum. Lega melihat senyum Hayfa.
“Come here, sayang.” Rendah suaranya sambil perlahan menarik tubuh Hayfa rapat padanya.
Hayfa akur sambil tersenyum manis. Rela dirangkul mesra oleh suami sendiri. Saat Adam rendahkan wajah dia menjauh sambil menggeleng. Adam mengangkat kening.
“Kita kat rumah abah ni, bang. And… kita kat luar. Bukan dalam bilik.”
“Kita kat atas bukan kat bawah. Siapa yang nak naik ke sini?” Adam memberi hujah bersama senyum yang penuh makna.
Wajahnya semakin dekat dan sekali lagi Hayfa menggeleng. Adam mengeluh perlahan. Hayfa menyentuh wajah yang nampak geram padanya itu. Merenung sepasang mata Adam yang membawa seribu maksud.
“Masuk bilik, jom?” Ajaknya bersama riak nakal. Riak yang menjemput tawa nakal Adam.
Sekelip mata Adam mencempung dirinya. Dia menjerit kecil sambil ketawa. Namun sebaik berpaling senyumnya mati. Langkah Adam juga mati. Terkejut melihat susuk yang jadi pemerhati.
“Abang buat apa ni?”
“Erra yang buat apa kat sini?”
“Hah? Ermm… Erra nak balik dah. Ingat naik nak cakap dengan abang, Erra nak balik dulu.”
“Oh… okey.”
Pendek jawapan Adam dan Adam berlalu dengan selamba. Hayfa yang terkedu dengan kehadiran gadis itu hanya diam memeluk leher Adam. Tersedar yang dia masih didukung segera dia berusaha untuk turun.
“Shhh… duduk diam-diam. Ayfa janji apa tadi?”
Hayfa terkebil-kebil. Tidak percaya sebenarnya. Adam menjadi selamba sebegitu di hadapan Erra.
“Erra pandang…” dia berbisik perlahan apabila menyedari Erra masih tegak berdiri di tepi tangga. Adam menoleh.
“Ni… arah bilik abang. Pintu besar kat bawah.”
Hayfa jegilkan mata. Pantas daripada wajah Adam, pandangannya lari ke arah Erra. Amat jelas wajah Erra berubah. Saat Adam menolak daun pintu dengan belakang bahunya dia sempat sekali lagi mencari kelibat Erra.
Gadis itu masih tegak berdiri sambil tangannya jelas kuat mencengkam pagar tangga. Entah kenapa, melihat wajah Erra yang jelas sangat bengang dia lemparkan sekuntum senyum yang sangat lebar.
Pautan di leher Adam dieratkan sambil mata tidak beralih dari wajah gadis itu. Belum sempat Adam membawanya masuk ke bilik Erra sudah menghentak kaki. Melangkah kasar menuruni tangga.
Hayfa mencemik. Terus tersenyum sambil melentokkan kepala ke bahu Adam.
“Sepupu abang cemburu teruk.”
“Ayfa fikir abang ada masa untuk pening kepala fikirkan semua tu?”
Hayfa tergelak. Kelakar mendengar jawapan selamba Adam yang sudah seperti iklan ubat sakit kepala.
HATI yang sakit bagai tidak mahu hilang. Menyesal rasanya dia naik ke tingkat atas mencari Adam. Lain yang dicari lain pula yang dia jumpa. Melihat aksi mesra Adam dan Hayfa bagai melihat gunung api yang meletus. Bahangnya terus meresap ke hati. Sungguh di luar dugaannya aksi yang dilihat petang tadi.
“Bodoh. Bermesra tak kira tempat. Saja nak suruh aku tengok laki kau sayang kau? Ingat aku peduli? Tapi, memang aku pun…” dia mengeluh lemah di hujung ayat.
Turun naik nafasnya teringatkan senyum Hayfa yang seakan mengejeknya. Senyum Hayfa penuh kemenangan. Dia pula, seakan orang bodoh. Tidak mampu bergerak walau satu inci pun dek kerana terkejut dengan aksi Adam.
“Abang Adam ni memang bodohlah. Aku punyalah elok. Cantik, muda… sah-sah tak mandul macam si Hayfa tu. Tapi perempuan tu juga yang dia pandang. Menyampah!”
“Dah kenapa ni? Muncung dah panjang sedepa. Bercakap sorang-sorang. Kena sampuk ke?”
“Ya!” Geram nada jawapannya bersama muncung yang semakin panjang.
“Sampuk dek hantu apa?”
“Hantu Hayfa!”
Adibah tersenyum nipis sambil perlahan menggeleng.
“Sudahlah. Tak payah buat muka macam ni depan mak. Cuba bagi tahu apa masalahnya? Hayfa buat apa kat kamu?”
Erra mengeluh panjang. Merengek geram sambil menghentak kedua-dua kaki ke lantai. Sungguh ada rasa geram yang terkumpul di hatinya. Terperangkap di situ tanpa mampu dia keluarkan.
“Abang Adamlah mak… orang bencilah. Perlu ke dia nak mesra-mesra dengan bini dia tu depan orang? Sakitlah hati. Yang Hayfa tu pulak. Ya ALLAH!! Menyampahnya!”
Adibah tergelak.
“Padan muka. Kenapa pergi tak ajak mak? Kalau mak ada tahulah macam mana mak sekolahkan Adam dengan Hayfa tu.”
Erra hanya mencemik. Panas hatinya masih belum hilang ibunya pula sesedap rasa menambah bara.
“Sabar je lah. Yang penting kamu terus buat baik dengan Mak Long kamu. Dengan Adam tu. Jangan jemu-jemu. Sampai bila dia nak mesra-mesra dengan bini mandul dia tu? Sampai bila Mak Long kamu nak bela menantu mandul dia tu? Betul tak?”
Erra mengeluh.
“Terus je buat baik dengan Adam tu. Dia cakap apa pun buat tak tahu je. Pandai kamu ambil hatinya jadi hak kamulah Adam tu. Takkanlah si Adam tu tak nak anak langsung. Yang penting kamu. Jangan cepat sangat mengalah kalau memang kamu nakkan Adam.”
“Memanglah orang nak mak. Dari dulu lagi orang nak Abang Adam. Tapi Hayfa tu datang merampas. Kalau Hayfa tu tak wujud dalam hidup Abang Adam sekarang ni mesti orang dah jadi isteri Abang Adam.”
“Alah… tak payah nak fikir sangatlah. Tengoklah apa balasan orang yang potong jalan anak mak? Mandul jadinya!” Bersungguh Adibah bersuara memberi semangat.
“Apa yang lebih kat Hayfa tu yang tak ada kat orang, mak?” Tanpa mengacuhkan kata-kata semangat daripada ibunya, Erra mengajukan soalan dengan perasaan yang terbuku. Entah kenapa, walau sudah bertahun-tahun, dia tetap tidak dapat melupakan Adam.
“Tak ada apa yang kurang pada kamu Erra. Kalau Adam nak isteri yang kerja bagus kamu pun kerja bagus. Nak yang cantik kamu jauh lagi cantik daripada bini dia tu.”
Erra mengerling.
“Dah orang anak mak, mestilah mak cakap orang yang cantik.”
Adibah ketawa rendah. Erra menarik nafas dalam-dalam.
“Susah-susah carilah orang lain Erra. Lelaki dalam dunia ni bukannya Adam sorang. Kamu tunggu Adam tu sampai sudahlah mak ni tak merasa nak bermenantu. Bercucu jauh sekali.”
Erra menggeleng. Bagaimana dia mahu mencari orang lain sedang di dalam hatinya hanya ada Adam seorang?
“Orang sayang Abang Adam. Mak pun suka sangat dengan Abang Adam kan? Anak saudara kesayangan mak kan? Lagipun cucu mak dah berderet kut. Tu… anak Kak Long, anak Abang Ngah.”
Giliran Adibah yang mengeluh panjang.
“Orang akan usaha sampai Abang Adam tu pandang orang ni. Jatuh hati pada orang.”
“Sebab mak tahu Adam tu baik orangnya. Ikut kamulah kalau kamu nak juga si Adam tu. Tapi ingat… kamu tu bukannya makin muda.”
Erra diam. Ibunya berlalu. Dia bersandar ke sofa. Mendongak merenung siling. Memandang kipas yang berputar. Fikiran kembali sesak dengan bayangan insiden petang tadi.
“Kalaulah aku yang Abang Adam dukung…” Tidak habis kata-katanya, Erra tergelak sendiri.
“Gatal kau Erra.” Omelnya mengekek sambil bingkas bangun. Tidak mahu lagi terus melayan rasa geram di hati.
NASIHAT suci murni daripada aku kau buat pekak dahlah. Tak usah layan. Betul cakap Adam. Buat apa layan benda yang menyakitkan hati kita? Lebih baik kau layan Adam elok-elok. Biar Adam berganda-ganda sayangkan kau. Tapi… haaa ada tapinya. Tapi kalau agak-agak dah melampau sangat, kau lawan baliklah.”
Hayfa hanya tersenyum. Temannya yang seorang ini kalau sudah mula buka mulut memang panjang lebar nasihatnya.
“Aku cakap betul. Lawan. Biar dia tahu kau ni,bukannya tak boleh lawan dia. Biar dia serik.”
“Nasihat kau ni kalau tak ekstrem memang tak sah kan? Tak adalah…aku cuma tak faham. Aku kahwin dengan Adam tu dah nak masuk lapan tahun. Lapan tahun itulah dia meroyan tak sudah dengan aku. Dia anggap aku ni macam musuh dia. Masa awal-awal kahwin dengan Adam, aku cuba berbaik dengan dia. Tapi kau tahu apa dia cakap?”
“Apa?”
“Aku ingat betul ayat dia. ‘Ayfa, terus-teranglah. Aku tak minat nak baik dengan kau. Kau dah rampas Abang Adam daripada aku. Kau, musuh aku sampai aku dapat balik Abang Adam’. Kau fikir apa aku rasa bila dengar dia cakap macam tu? Jodoh tu kan kerja ALLAH. Terima je lah dah itu jodoh aku. Tapi tak. Dia terus buat hal dengan aku. Dia dengan mak dia samalah perangainya tu.”
Suhara tergelak kecil.
“Orang perempuan ni macam-macam ragam kan? Tapi ragam sepupu Adam tu memang ragam nak makan penampar. Jangan bagi muka sangatlah kalau dah terang-terang dia memang simpan niat nak himpit suami kau. Lagilah dalam keadaan kau belum ada rezeki nak mengandung ni.”
Hayfa tersenyum hambar. Mengiakan setiap yang keluar daripada mulut Suhara. Kalau diikutkan rasa hati, sikap Erra memang sangat mendera jiwanya. Itu belum lagi mak ngah, ibu saudara Adam. Ibu kepada Erra. Sebenarnya kalau difikirkan yang paling teruk mempertikaikan keadaan dirinya adalah Erra dan ibunya.
Dicanangkan bermacam versi cerita kepada jiran tetangga. Dan, oleh kerana ibu Adam sangat bermasyarakat orangnya maka setiap mulut orang sekeliling terasa sangat dekat di telinganya. Setiap kali ibu mentuanya mengadakan majlis itulah bahan yang menjadi topik wajib. Begitu juga setiap kali dia menemani ibu mentuanya itu bertandang ke majlis jiran-jiran. Jadi, kalau dapat dibuat satu kesimpulan punca dirinya diasak dengan pelbagai soalan dan andaian yang membuat dia makan hati, adalah ibu Erra dan Erra.
“Hey! Berangan pula.” Sergahan perlahan daripada Suhara membuat dia tersentak.
“Berangan apa? Berperang dengan sepupu Adam?”
Hayfa ketawa bersama dahi yang berkerut.
“Mengarutlah. Ada faedah kalau berperang? Suka hati dialah.”
Suhara mencemik.
“Suka hati dialah… tapi hari-hari kau yang duk makan hati. Lepas tu aku yang kena dengar luahan kau. Dah jadi satu kerja pula aku nak jadi tukang dengar cerita penglipur-lara kau.”
Hayfa menarik muka.
“Tak ikhlaslah dengar luahan aku ni?”
Riuh tawa Suhara melihat wajah Hayfa yang nampak tersinggung.
“Aku geramlah. Kau tu tahu marah… tapi tak pernah nak ajar sikit orang macam sepupu Adam tu.”
“Eh, aku ada ajar dialah. Bukan aku biar je dia duk kutuk-kutuk aku.”
“Hurmmm…. Ya sangatlah tu. Kalau kena cara ajarnya dah lama perempuan tu serik. Tapi aku tengok macam makin besar kepala je. Lagi satu kau tak cerita kat Adam ke? Biar Adam ajar sikit perempuan tu.”
“Adam? Adam tu bukan senang nak melenting. Lagi-lagi Erra tu saudara dia. Adam tu jenis yang utamakan hubungan kekeluargaan. Jenis yang jaga hubungan. Memang susahlah sikit nak tengok dia marah. Tapi dia ada juga berkias. Cuma dua orang makhluk itu sangatlah tak faham kias-kias suami aku tu.”
“Bukan tak faham. Buat-buat tak faham. Orang macam tu mana boleh main kias-kias. Bagi terus je. Senang.”
Panjang keluhan Hayfa sambil menggaru kepala.
“Susah, Ara. Kita fikirkan hubungan saudara. Kalau boleh tak naklah sampai bermusuhan. Tapi, itulah… kadang-kadang orang ni tak fikir macam yang kita fikir.”
“Baik tak ada saudara kalau ada jenis yang mulut puaka macam tu. Mulut puaka hati jembalang.”
Terhambur gelak Hayfa mendengar balasan penuh emosi itu.
“Amboi, kau emosi sangat ni. Sabarlah. Jangan ikut perasaan sangat.”
Suhara membuang pandang.
“Aku tak bolehlah. Bab duk sibuk bila kau nak pregnant tu dah satu hal yang menyakitkan hati aku. Tapi yang lagi menyakitkan hati aku tu…bab nak menyendeng dengan laki orang tu. Ya ALLAH, sabarnya kau Ayfa. Kalau akulah…”
“Ya… aku tahu. Kalau kau, mesti dah hancur gunung ganang kau amuk. Sabar sikit. Jangan ikut perasaan sangat.” Hayfa cuba berlawak apabila emosi Suhara semakin memuncak.
Memanglah sejak dulu temannya itu sangat pantang dengan perempuan yang suka mengejar suami orang.
Mendengar usikan itu Suhara hanya ketawa kecil.
“Aku geramlah. Tak boleh hadam. Kau pun janganlah lembik sangat. Lawan sampai orang tu terduduk barulah dia tahu gerun. Tak ada lagi nak menyibuk hal kau… tak ada lagi nak simpan angan-angan nak rampas suami kau.”
Hayfa larik senyum. Nasihat Suhara kadang-kadang kedengaran melampau. Tetapi itulah cara dia redakan hati yang membengkak menahan sakit. Bercerita dengan Suhara dapat membuat dia lebih lega.
“Terima kasih untuk nasihatnya, ya.”
Suhara membuat muka. Hayfa tersenyum.
“Kau dengar luahan aku ni pun dah cukup. Dah lega rasanya. Simpan sorang ni kadang-kadang sendat dada aku. Nak cerita kat keluarga aku selalu pun nanti takut lain macam pula hubungan keluarga aku dengan keluarga Adam.”
“Pasal dia cakap nak tayang anak dia dengan Adam kat kau tu ada kau cakap dengan Adam tak?”
Hayfa menggeleng.
“Tak ada faedah nak cerita pun. Lantak dialah. Biarlah dia dengan cita-cita dia. Untuk aku cukuplah aku selalu berdoa jodoh aku dan Adam berpanjangan dan tak akan ada yang cuba rosakkan hubungan kami.”
“Betullah tu. Berdoa itu yang paling baik. Mohon pada TUHAN. Tapi usaha pun kena ada. Dah nampak ancaman tu kau kenalah berjaga-jaga.”
“Insya-ALLAH.”
Suhara diam sejenak. Memandang sahaja wajah Hayfa yang nampak tenang.
“Kau kawan baik aku. Aku tak nak hidup kau kucar-kacir nanti.” Nada suaranya sudah sedikit kendur.
Senyum. Hayfa mengukir senyum mendengar kata-kata temannya itu.
“Terima kasih. Aku tahu kau kawan aku yang baik.”
“Betul. Tapi sampai sini je lah aku mampu jadi kawan baik, kut.”
Hayfa tayang muka hairan.
“Tu… hero kau dah datang.”
Segera Hayfa berpaling. Tersenyum panjang melihat Adam yang sedang menghala ke arahnya.
“Kau memang kan. Ajak aku keluar. Tapi rupa-rupanya dah janji nak dating dengan Adam. Baik aku terus balik rumah je tadi.”
Hayfa kembali mencari wajah Suhara.
“Taklah. Kebetulan Adam ada hal kat sini kut.”
“Mengumpat…” Sapaan itu mengalih sekali lagi pandangan Hayfa. Kali ini ke wajah Adam yang ceria.
“Abang buat apa kat sini?”
“Ganggu date Ayfa dengan bff ni.” Selamba Adam mengambil tempat di sisi Hayfa.
“Haa… kan aku dah cakap. Ni kiranya nak halau akulah ni?”
Adam ketawa.
“Lepaklah. Aku belanja.”
Suhara mengangkat kening.
“Ayat tu aku suka. Aku nak menu yang paling mahal.”
Hayfa tersenyum. Lebih lebar senyumnya apabila sebaik sahaja elok duduk di sebelahnya terus saja Adam menarik jemarinya ke genggaman. Itu satu kebiasaan yang barangkali tidak boleh Adam tinggalkan. Kebiasaan yang membuat dia sentiasa berasa istimewa di hati Adam.
“Nak makan apa?”
Lembut suara Adam bertanya bersama renungan redupnya. Dia tersenyum lagi. Inilah bahagianya. Kalau tidak makan pun dia yakin dia tidak akan berasa lapar selagi renungan seindah itu menjadi miliknya. Selagi renungan yang sarat dengan cinta itu tetap mampu menggetar perasaannya.
TIDAK tahu sesuai atau tidak air mata mengalir pada hari ini. Namun, tetap perlahan ada air mata yang menitis. Lambat-lambat diseka sambil menghela nafas sedalam mungkin. Telefon di tangan, dipandang lagi. Membaca status yang ditulis di dada media sosial.
Kathy: Happy anniversary Abang Adam. Yang ke lapan kan? Tiap-tiap tahun sambut berdua, bila nak sambut bertiga pula?
Ucapan untuk ulang tahun perkahwinan dia dan Adam. Tetapi semua ucapan itu langsung tidak memberi rasa bahagia di hati. Ucapan daripada sepupu-sepupu Adam dan komen-komen di Facebook itu lebih menghiris sekeping hatinya.
Suzi: Sementara muda ni janganlah tangguh-tangguh nak dapat anak.
Kathy: Takut gemuk kut. Nanti Abang Adam cari lain. Hehehe.
Erra Latif: Tak apalah. Belum rezeki la tu. Kan Hayfa.
Khaty: Kalau jadi dengan kau dah berderet kut rezeki anak Abang Adam. Haha.
Erra Latif: No komen hahaha.
Telefon diletak ke atas meja. Tidak mahu terus menyakitkan hati sendiri. Namun bunyi notifikasi menarik kembali perhatiannya. Dalam enggan hatinya terus didesak untuk membaca setiap nada sinis manusia di sekelilingnya.
Haikal: Korang ni kan mulut dah ada insurans ke belum? Sibuk hal masing2 dah lah.
Khaty: Kau duduk jauh-jauhlah. Sentap pula. Tuan punya badan tak apa-apa, kau pula yang lebih.
Erra Latif: Sokong. Hayfa pun tak bising. Dia pula yang lebih. Haha.
Haikal: Aku sumpah laki dan bakal laki korang kahwin lain. Hahaha.
Diam seketika sambil memandang nama-nama yang masih seronok berbalas komen di ruang Facebook suaminya itu akhirnya dia membuat satu keputusan.
Satu per satu nama yang sedang rancak mempersendakan takdirnya itu disekat daripada terus berada dalam senarai rakan Facebook. Dia tidak perlukan kata-kata sinis sebegitu. Hatinya tidak begitu kebal untuk tolong ketawa setelah dirinya menjadi badut di kalangan insan-insan yang barangkali berasa diri masing-masing sangat sempurna.
Telefon diletak kembali ke atas meja sambil perlahan menyeka air mata. Kegembiraan untuk memberi kejutan kepada Adam juga sudah berkubur perlahan-lahan. Selintas satu perasaan menyelinap ke relung hati. Barangkali hanya dia yang teruja untuk membuat Adam gembira padahal hakikatnya Adam sendiri sudah hilang rasa gembira. Barangkali Adam juga sudah bosan dengannya. Dia tidak mampu memberikan Adam zuriat. Dia gagal menjadi seorang isteri yang sempurna untuk Adam.
Sudahnya dia mengangkat punggung. Telefon dicapai. Bergerak meninggalkan hidangan makan malam yang belum selesai dihidang. Membawa beban yang memberi rasa berat yang bukan calang-calang di hati. Langkah dibawa ke bilik. Diam di birai katil sambil mencerna setiap cakap-cakap manusia yang semakin lama membuat dia semakin tertekan. Air mata yang jatuh ke pipi diseka sekali lagi.
Lapan tahun berkahwin dan belum ada rezeki untuk menimang anak, terasa seluruh dunia sedang menilainya kini. Tiga empat tahun kebelakangan ini situasi terasa semakin mengganggu emosinya. Salah dia kah andai rezeki masih belum berpihak padanya? Lagu nada dering telefonnya mengganggu lamunan. Telefon yang masih di tangan dipandang sepi. Ibu mentuanya. Setelah menarik nafas sedalam mungkin, panggilan itu dijawab.
“Datang sini tak?”
Berkerut keningnya mendengar soalan itu sebaik salamnya berjawab.
“Kenapa umi?”
“Adam cakap nak makan ayam kurma umi. Umi dah masakkan ni. Pukul berapa nak datang?”
“Umi call abang Adam ya umi.”
“Kenapa pulak?”
“Saya kat rumah. Abang Adam belum balik. Nanti umi suruh Abang Adam pergi ke sana terus.”
“Kamu?”
“Saya tak sihat sikit. Rasa nak rehat je ni.”
“Tak sihat? Dah telefon Adam ke belum? Tak payah suruh Adam datang sinilah. Pergi klinik.”
Hayfa ketawa kecil. Itulah ibu mentuanya. Prihatin padanya sama sahaja dengan risau pada Adam kalau suaminya itu jatuh sakit.
“Penat sikit je umi. Tak payah risau pasal saya. Penat umi masak untuk Abang Adam tak apalah. Suruh aje Abang Adam terus ke sana.”
“Mana boleh macam tu. Kamu rehatlah. Adam balik ajak dia ke klinik. Ayam kurma ni esok-esok umi boleh buat lagi. Dah umi letak telefon ni. Kamu rehatlah. Assalamualaikum.”
Talian terus terputus. Salam dijawab perlahan sambil dia mengeluh lagi.
“Hayfa tak sihat?”
Laju dia berpaling. Adam sudah berada di bilik rupa-rupanya. Lambat-lambat dia menggeleng.
“Dah lama abang sampai?”
Adam tersenyum. Melangkah mendekat sambil memberi satu ciuman di dahi isterinya.
“Baru sampai. Kenapa meja makan macam tongkang pecah?”
Hayfa diam. Adam melabuhkan punggung di sisi.
“Ada apa-apa yang tak kena ke? Marah abang?”
Hayfa menggeleng. Adam mengangkat kening.
“Mogok nak sambut anniversary kita ke? Ingat abang lupa?” usik Adam bersama senyum.
Hayfa menggeleng lagi.
“Abang tak lupalah.”
Hayfa diam. Memandang wajah Adam yang nampak sangat ceria. Mana mungkin Adam lupa. Adam tidak pernah lupa hari istimewa mereka.
“Tell me. Kenapa ni? Mendung saja muka ni?” Masih bersama senyum riang lembut sahaja soalan Adam menyentuh gegendang telinga. Tiba-tiba hatinya jadi tertanya-tanya. Adakah hati Adam seriang wajahnya saat ini?
“Hulur tangan.”
Sambil terus menatap wajah suami arahan itu dituruti. Tangan dihulurkan. Adam memegang tangannya. Mengusap perlahan telapak tangannya.
“Pejam mata.”
Hayfa menggeleng. Adam jegilkan mata. Membuat dia tersenyum nipis. Tidak mahu menghampakan Adam dia ikutkan sahaja. Mata dipejam dan terasa sesuatu diletakkan ke atas telapak tangannya.
“Okey. Buka mata.”
Dia menurut dan ada kunci di tangannya. Kunci kereta.
“Apa ni?”
“Hayfa selalu tension kereta selalu rosak kan?”
“Ya. Tapi Hayfa tak nak kereta baru.”
Adam tersenyum sambil menjongket bahu.
“Betul ke tak nak?”
“Tak nak.”
“Tapi hari tu cakap nak.”
Hayfa mengerutkan kening.
“Bila?”
“Minggu lepas. Masa tidur.”
Hayfa ternganga. Adam ketawa.
“Hayfa tak pernah mengigaulah.” Nafinya sambil memukul bahu Adam. Adam ketawa lebih kuat.
“Sebab Hayfa tak pernah mengigaulah abang yakin bila dah mengigau tu maknanya Hayfa betul-betul nak kereta baru. ‘Abang… nak kereta baru’ haaa… Macam itulah Hayfa cakap.”
“Bohong! Abang tipu.” Semakin bertubi-tubi pukulannya singgah dibahu Adam. Adam mengelak sambil tergelak.
“Ya…ya… abang bohong. Memang abang nak belikan Hayfa kereta.” Akhirnya Adam bersuara sambil memegang kedua-dua tangan isterinya itu.
“Bukan nak cakap terima kasih. Pukul abang, ya?”
Hayfa mengerling. Adam mengangkat kening. Tangan Hayfa di genggamannya dibawa ke bibir.
“Selamat ulang tahun perkahwinan kita yang kelapan,” ucapnya di hujung kucupan. Hayfa tersenyum kelat.
“Selamat ulang tahun perkahwinan kita yang kelapan, abang.”
Adam mengangguk.
“Lapan tahun. Kalau abang kahwin dengan Erra, mesti dah berderet anak-anak abang, kan?”
Senyum Adam pudar perlahan-lahan.
“Apa ni?”
Hayfa menggeleng perlahan. Air mata kembali menjadi sangat murah.
“Kenapa cakap macam tu?”
“Itu yang sepupu-sepupu abang duk sembang kat wall Facebook abang.”
Berkerut dahi Adam. Telefon di dalam poket dikeluarkan segera. Membuka aplikasi media sosial yang dimaksudkan isterinya. Seketika dia meneliti ucapan ulang tahun perkahwinan yang seterusnya meleret menjadi tempat masing-masing menjadikan kekurangan Hayfa sebagai satu bahan gurauan. Dia mengeluh panjang sambil meraup wajah. Post ucapan itu dibuang terus.
“Hayfa tahu kan dia orang macam mana? Tak usah pedulikan.”
Hayfa menggeleng.
“Tak boleh, bang. Tak boleh. Sebab Hayfa ada perasaan. Hayfa tahu kekurangan Hayfa. Tapi bila semua orang anggap kekurangan tu bahan jenaka, hati Hayfa sakit bang.”
Adam tidak bersuara. Hanya perlahan dia memaut Hayfa ke pelukannya.
“Bukan kekurangan sesiapa Hayfa. Hanya ALLAH belum berikan kita rezeki tu. Kita dah jumpa doktor. Doktor pun dah cakap kita tak ada masalah. Belum rezeki kita. Jadi kita kena sabarlah. Sabar…usaha. Insya-ALLAH nanti sampai waktunya doa kita sama-sama ALLAH makbulkan. Jangan serabutkan kepala dengan orang-orang macam tu lah.”
“Abang tak kisah? Tak kisah ke dah lama kita kahwin tapi belum ada anak? Kalau lepas ni Hayfa tetap tak mengandung macam mana?”
“Abang tak kisah.”
Bersama jawapan yang selamba itu, Adam menggelengkan kepala. Hayfa diam. Hanya melentok ke bahu suaminya. Perlahan-lahan memeluk tubuh itu.
“Hayfa minta maaf. Tak sempat siapkan makan malam kita. Hayfa sakit hati.”
“Sebab tu, jangan layan Facebook kat dapur. Sebab post tak berfaedah tu tak adalah makan malam romantik malam ni?”
Hayfa tersenyum dalam diam.
“Dah tu abang nak makan apa ni? Makan Hayfa?”
Kali ini Hayfa tergelak kecil. Pandangan diangkat memandang wajah Adam.
“Tadi, umi call. Umi cakap abang suruh dia masak lauk favourite abang. Umi dah siap masak pun.”
“So, kita makan rumah umilah?”
Hayfa tersengih.
“Tapi tadi abang dengar Hayfa cakap tak sihat?”
“Sekarang dah okey.”
Adam tersenyum sambil mengeratkan pelukan.
“Jangan peduli cakap orang. Okey?”
Hayfa tidak menjawab. Hanya pelukannya semakin dieratkan. Namun diam-diam hatinya tetap membalas. Bagaimana dia boleh tidak pedulikan kata-kata orang kalau setiap kata-kata itu sangat melukakan?
BERAT hatinya mahu ke sini. Tetapi memikirkan suami dan ibu mentuanya dia kuatkan semangat. Majlis doa selamat di rumah ibu saudara Adam. Majlis yang menjadi tempat berkumpul semua saudara-mara yang mempunyai seribu satu ragam masing-masing. Ragam yang paling tidak digemarinya adalah ragam tuan rumah sendiri. Sedaya upaya dia cuba mengelak namun empunya diri seakan tahu pula apa yang bermain di hatinya.
“Dari tadi mak ngah perhatikan. Kamu ni, macam lari-lari dari mak ngah? Kenapa ya?”
Hayfa mengurut dada. Tersentak dengan sapaan tiba-tiba dari belakang. Lambat-lambat dia berpaling. Sebaik sahaja berdepan dengan ibu saudara Adam itu dia pamerkan sekuntum senyum manis sambil menggeleng.
“Nak lari ke mana mak ngah? Kalau memang nak lari tak adalah saya datang kan?”
“Baguslah macam tu. Jangan jadi kurang ajar. Jangan ingat mentang-mentang mak ngah ni mak saudara Adam jadi kamu tak payah nak tunjuk hormat. Jangan nampak orang tua buat-buat tak nampak. Takut sangat nak menegur. Kenapa? Orang tua ni makan orang ke?”
Hayfa tersenyum kelat. ‘Makan orang tidak, sakitkan hati orang, ya…’ diam-diam hatinya menjawab soalan itu.
“Dah duduk sini. Mak ngah nak cakap sikit. Tak payah buat sibuk ke sana ke mari.”
Hayfa menahan nafas. Spontan matanya meliar mencari susuk Adam. Dia tidak mahu duduk bersembang dengan wanita ini.
“Kamu cari siapa? Adam? Jangan risaulah. Tak ada ke mana laki kamu tu. Takut benar laki dia hilang. Sayang laki bukan main tapi kedekut sangat nak bagi laki anak.”
Mendengar kata-kata yang bukan main lantang itu mahu tidak mahu perlahan dia melabuhkan punggung ke sofa. Wajah di hadapannya itu dipandang sambil sekali lagi senyum diukir.
“Mak ngah sihat?” Soalnya berbasa-basi.
“Sihat. Dah anak doktor kalau tak sihat tak tahu nak cakaplah ya. Mak ngah sihat je. Kamu ni sihat ke tidak?”
Hayfa diam. Bagai faham ke mana arah ‘sihat’ yang dimaksudkan itu.
“Alhamdulillah. Sihat.”
“Kalau sihat kenapa tak nak mengandung? Nak tunggu Adam cari lain ke? Jaga badan lagi penting daripada suami ya?” Separuh berbisik soalan itu menyentuh gegendang telinga.
Hayfa diam. Senyum pun hilang perlahan-lahan. Tajam dan sinis sangat soalan itu. Terus menusuk kejam ke hati.
“Kalau sayang suami jangan sayang badan.”
Hayfa menghela nafas perlahan. Hati sudah membuak rasa marah di dalam diam.
“Saya tak pernah jaga badan, mak ngah.”
“Hurm… kalau tak jaga badan apa lagi sebab perempuan ni tak nak anak? Hah?”
“Saya tak pernah cakap saya tak nak anak. Siapa yang kahwin tak nak anak? Semua orang nak anak mak ngah.”
“Kalau macam tu jangan tangguh-tangguh cepat-cepat beranak. Cepat-cepat berubat. Berusaha. Jangan duduk diam saja. Ke… nak tunggu laki tu cari lain baru sibuk nak berubat? Masa tu hanya mampu menangis je kamu. Tahu tak?”
Hayfa sudah tidak senang duduk. Mulut ibu saudara Adam yang seorang ini memang sangat tajam.
“Mana mak ngah tahu saya dengan Abang Adam tak pernah berusaha? Takkan saya nak beritahu semua orang apa yang kami buat untuk dapat anak.”
“Menjawab? Yalah… mulut orang tua ni banyak yang tak betul kan? Tunggulah kamu Hayfa. Satu hari memang meraunglah kamu Adam cari lain. Kamu ingat orang lelaki ni boleh sabar kalau bertahun-tahun kahwin tak juga beranak bininya?”
“Kita memanglah berusaha mak ngah. Tapi tak boleh lupa. Selagi ALLAH belum nak beri rezeki kita tak boleh buat apa-apa.”
“Mak ngah ni cakap aje. Nasihatkan kamu sebagai orang tua. Nak dengar…dengar. Tak nak dengar sudah. Yang makan hati nanti kamu, bukannya mak ngah.”
“Saya nak cari Abang Adam kejap ya.”
“Haaa… itulah dia. Pantang suami tak ada depan mata hati dah fikir yang bukan-bukan, kan? Orang nasihat tak nak dengar. Asal laki hilang menggelabah takut laki kena kebas. Tahu pun risau.”
“Memanglah ada risau tu, mak ngah. Risau jugalah mana tahu takut-takut Erra teringin nak kebas.” Lebar senyum Hayfa menutup hati yang sudah bergoncang hebat.
Dengan lembut dia membalas sindiran dan cemuhan yang menyapa telinga sambil mengangkat punggung. Berlalu dan pekakkan telinga apabila mak ngah sudah menjerit marah.
“Ehhhh… anak aku tak lapar kat laki orang lah weh. Mulut tu jaga sikit.”
Hayfa tersenyum. Terus berlalu meninggalkan mak ngah Adam terus membebel. Pasti heboh nanti sampai berita ke telinga ibu mentuanya. Berita menantu Hajah Wardah yang mulut celopar. Berita menantu Hajah Wardah yang biadab dengan orang tua.
“Hayfa.”
Dia berpaling. Bertembung dengan satu lagi wajah yang tidak akan membuat hatinya senang. Lari daripada ibu kini berdepan pula dengan si anak.
“Tiba-tiba block aku kat FB. Kenapa? Aku ada buat salah ke? Aku ada sakitkan hati kau ke?”
Hayfa mengerutkan kening. Memandang wajah Erra dengan riak hairan.
“Ya ke? Tak perasan pula aku. Tertekan kut.”
Erra tersenyum. Hayfa turut tersenyum. Dia tahu gadis itu tidak percaya pada alasannya. Dan dia pun tidak kisah sama ada Erra percaya atau tidak. Jawapannya hanya sekadar mahu berlapik bicara. Tidak mahu terang-terang tunjuk rasa hati.
“Macam susah nak percaya je.”
Hayfa jongket bahu.
“Percaya atau tak terserahlah. Mana boleh aku paksa kau percaya kan? Lagipun kenapa pula aku nak block kau?”
“Mana tahu kau cemburu tengok aku berbalas komen dengan Abang Adam. Atau kau sentap ke sebab Khaty usik aku dengan Abang Adam?”
“Nak cemburu buat apa? Nak sentap buat apa?”
Erra jongket bahu sambil berpeluk tubuh.
“Rasa tak selamat kut. Sebab tu kau delete wish Khaty tu kan? Tak baik tau. Tak sempat Abang Adam baca kut wish tu.”
Hayfa tertawa.
“Facebook Abang Adam. Kenapa pula aku yang sibuk-sibuk nak delete post kat wall dia?”
“Hurm… selalunya isteri kalau tak boleh mengandung ni hatinya curiga je kat suami. Betul tak? Sebelum suami baca baik delete awal-awal. Kan?”
Hayfa tersenyum. Sakit hati tetapi dia tidak berminat mahu menjawab tekaan yang mengarut itu.
“Siapa cakap Hayfa tak boleh mengandung? Dan post tu abang yang delete. Kenapa pula Hayfa nak delete post kat Facebook abang? Seronok kau orang persendakan hidup orang. Buat apa abang nak biarkan benda-benda macam tu menyemak kat wall abang?”
Mendengar suara Adam Hayfa berpaling. Tersenyum pada suami yang sudah berada di sebelahnya. Apabila Adam memaut pinggangnya, dia terasa sangat lega. Adam selamatkan dirinya daripada terus berdepan dengan mulut Erra yang tidak pernah baik kata-katanya. Erra pula terus terdiam.
“Daripada Erra sibuk dengan rezeki anak yang belum TUHAN beri pada kami baik Erra sibuk dengan rezeki jodoh Erra yang tak juga sampai tu.”
Hayfa menoleh. Tidak percaya kata-kata itu meniti di bibir Adam. Adam yang dia kenal tidak pernah bersuara sesinis ini. Erra pula sudah berubah riak wajahnya.
“Apa abang Adam cakap ni?”
“Cari suami cepat-cepat. Tak adalah sibuk sangat nak jadi pakar sakit puan kat orang yang dah kahwin.”
Hayfa terkebil-kebil. Wajah Erra sudah memerah. Pasti menahan marah.
“Tak pasal-pasal sindir Erra ni kenapa?”
“Lah… terasa ke? Lagi satu abang nak cakap ni Erra. Kalau dah kahwin nanti pastikan sepuluh bulan lepas kahwin terus dapat anak tau.”
“Abang ingat kahwin…dapat anak ni… macam beli barang kat mall?” Erra merengus marah.
Adam ketawa nipis.
“Haa… tahu pun. Jadi, tak payah tanya, cakap, sindir isteri abang lagi lepas ni. Kerja ALLAH kita jangan masuk campur.”
Tanpa membalas kata-kata itu Erra terus berlalu bersama wajah yang mencuka. Adam menggeleng perlahan.
“Kenapa abang cakap macam tu?”
“Salah ke apa yang abang cakap?”
Hayfa menggeleng.
“Selalunya abang diam saja. Kenapa hari ni abang macam ni?”
Adam tersenyum. Wajah isterinya dipandang.
“Dah lama abang diam. Tapi abang diam bukan bermakna abang tak kisah. Bukan bermakna abang akan biarkan semua orang buat sesuka hati pada isteri abang. Abang diam sebab abang harap orang-orang sekeliling kita ni akan faham ada sesetengah perkara bukan kita yang kawal. Tapi nampaknya masing-masing tak nak faham. Jadi abang kena mula buka mulutlah. Sampai bila abang nak tengok isteri abang asyik kena sindir saja?”
Hayfa tersenyum.
“Baiknya suami Hayfa…”
Adam mengangguk.
“Paling baik kan?”
“Paling… paling…baik.”
Adam menghela nafas panjang. Jemari Hayfa digenggam erat.
“Nak balik?”
“Nak sangat-sangat. Hayfa minta maaf. Bukan Hayfa tak suka nak datang majlis keluarga abang. Tapi daripada mula Hayfa sampai semua macam dah berpakat nak tanya soalan yang sama kat Hayfa. Mak ngah abang tu…”
“Abang tahu. Abang nampak. Sebab tu abang tanya ni… nak balik tak?”
“Nanti umi bising tak? Umi pun tengah sibuk sembang tu.”
“Umi faham.”
Perlahan Hayfa mengangguk. Memang dia tidak mahu menghabiskan walau seminit pun lagi di majlis ini.

