MunaMahira-BukanMahuku

Bukan Mahuku

Perkahwinan ini tidak sepatutnya berlaku. Tidak patut! Hubungan suci perlu disulam dengan cinta yang mampu membuai rasa. Penuh bicara indah. Itu yang diinginkan setiap gadis.

Malangnya buat Nur Atiya bila dirinya berakhir di tangan lelaki yang hanya menganggapnya sebagai boneka. Bukan isteri untuk dikasihi.

Di mana silapnya? Dia hanya ingin menganyam cinta bersama kekasih hati. Bukan terdera di tangan seorang suami.

Penulis: Muna Mahira
Terbitan: Permata Hiraz

“APA lagi yang you nak? Puas hati you sekarang, kan?” jerit sang isteri melampiaskan amarah yang berbuku di dada. Amarah yang sebenarnya ditujukan pada diri sendiri.

Salahnya sendiri yang bodoh menilai. Bukan salah lelaki itu yang sengaja membongkar kebenaran di hadapannya. 

Biarpun dia tahu lelaki itu hanya berbuat begitu demi ingin mendera hati dan perasaannya, dia hanya mampu memarahi diri. Dia yang begitu mudah percaya. 

“Marah?” soal sang suami. Dingin dan sinis nada yang menyapa telinga. Seolah tuduhan sang isteri tidak berbekas padanya. Tidak langsung tertera di mata. 

Sepasang mata merenung tajam sesusuk tubuh genit yang kelihatan begitu lemah ketika ini. Ibarat helang memerhatikan mangsa. 

Sampai sahaja di rumah nanti akan diajar supaya kenal siapa sebenarnya suami di mata gadis itu. Biar sepasang mata yang kini kabur dengan air mata hanya kenal wajah suami sendiri. Bukan lelaki lain!

Drama yang sengaja dipertontonkan di hadapan gadis itu sudah tamat. Tiba masa untuk mengajar isterinya hakikat sebenar. 

Si isteri membuang pandang ke luar tingkap kereta. Air mata terus setia membasahi wajah. Harapan yang berkecai meluluhkan hati. Memadamkan sebarang cahaya di dalam hidup.

Dunia terasa kelam ketika ini. Dia ibarat orang buta yang kehilangan tongkat. Walaupun dia sendiri cuba memadam harapan di hati Fahim, namun jauh di sudut hati cinta yang bertahun-tahun dibaja masih membara menanti masa untuk marak membakar. 

Mungkin secebis hati yang degil masih mengharap dapat pulang ke pangkuan lelaki itu. Menyambung kisah yang tertangguh.

Apa yang perlu dilakukan selepas ini? Ke mana langkah yang perlu dituju? Atau dia hanya mampu terus kekal di sisi lelaki yang langsung tidak punya hati dan perasaan?!

Bibir bergetar hiba. Tidak mampu menyuarakan sebarang tuduhan terhadap lelaki di sisi. Dia lelah dengan permainan perasaan. Dia hanya ingin memejam mata. Cuba memadam kepahitan yang menyesak dada. 

Mata dipejam rapat. Bibir mengukir senyum. Senyuman mengejek diri. Mempersoalkan kelemahan sendiri.

Salahkah jika dia mengharap cinta yang indah? Salahkah jika dia ingin dikasihi dan mengasihi? Perlukah dia hidup di dalam hubungan yang beku tanpa kehangatan kasih seorang suami? 

Tiba-tiba tawa meledak di bibir merah itu. Tidak tahu apa yang lucu. Menimbulkan kerutan di dahi sang suami. 

Tawa terus bergema. Tidak peduli pada reaksi lelaki di sisi. Tawa yang bersulam lara. Mengusik hati mereka yang mendengar.

Cinta. Begitu sukarkah untuk digapai? 

Dia masih ingin percaya yang cinta itu wujud untuknya. Tentu sahaja takkan hadir dari lelaki beku di sisi. Sebaliknya dia perlu membebaskan diri. Tidak perlu terus menyeksa diri. Cukup setakat ini. 

“Tak perlu buang masa you. I takkan berikan apa yang you nak,” deram sang suami bagai dapat membaca fikiran sang isteri. Memadam segala harapan yang baru melata. Memasak kemas kenyataan yang dia takkan sesekali melepaskan isterinya itu. Never!

“BEAST! jeritnya sakit hati. Air mata yang berjurai tidak dipedulikan. Luluhnya hati ketika ini menguasai diri. Mata merenung benci lelaki yang telah merosakkan segalanya.

Sesungguhnya dia benci pada lelaki yang tidak punya hati itu. Lelaki yang begitu kejam mengheretnya ke dalam sebuah perkahwinan sepi. Dingin tanpa sebarang rasa. 

Segala mimpi yang pernah dianyam berkecai begitu sahaja. Malam pertama yang diangankan penuh dengan keindahan hanya berakhir dengan satu hubungan seksual, sepi tanpa kehadiran cinta yang membuai rasa. 

Dia mendambakan malam yang sempurna. Mengharapkan bicara cinta seorang suami mengusik tasik hati. 

Malangnya, bukan itu yang berlaku. Malam yang sepatutnya menjadi penyatuan dua hati dan jiwa kini cuma penuh dengan amarah dan benci. 

Dia teresak sendiri. Menangisi nasib diri. Seluruh tubuhnya terasa sakit dikasari lelaki itu. 

Tiada belaian lembut yang diterima. Sebaliknya kekasaran lelaki itu benar-benar menjerut rasa. 

Terasa diri bukan seorang isteri. Sebaliknya perempuan murah yang langsung tidak berharga di mata lelaki itu.

Air mata terus berjuraian jatuh. Mencengkam rasa di dada. Renungan yang tadinya marak dengan api kini kabur dengan air mata. 

Dia, Nur Atiya Abbas sentiasa ditatang oleh keluarga tersayang. Dimanjakan ibu dan abah. Dipenuhi segala permintaan. Mana pernah dikasari begini. Lelaki itu manusia pertama!

Pun begitu dia hanya mampu menghamun lelaki itu. Tidak berdaya mengubah nasib diri yang telah berakhir di tangan lelaki itu. 

Hubungan yang sudah termaktub tidak mudah untuk diputuskan. Jika begitu mudah, untuk apa dia berada di sini? Apa perlunya mengorbankan diri di tangan lelaki itu? 

Beast, huh?” soal lelaki itu sinis. Dagu runcing sang isteri disambar kasar lalu didekatkan ke wajahnya. Air mata yang membasahi wajah indah itu terasa menyakitkan mata. Annoying! 

Atiya cuba menepis tangan yang begitu berani mencengkam dagunya. Rasa sakit menular akibat tekanan dari jemari panjang yang langsung tidak dikawal lelaki itu. 

I can be more than that. Do you want to try?” Nada yang menggerunkan itu sekelip mata menghentikan tangisan seorang isteri. Senyuman sinis tersugil di bibir. Berpuas hati dengan reaksi itu. 

Dia bingkas bangun. Melepaskan cengkaman di dagu runcing itu sebelum melangkah ke almari mencari pakaian lalu disarung ke tubuh sebelum menghilang dari pandangan. 

Atiya menyembamkan wajah ke bantal. Kembali teresak lemah. Tangan tidak henti memukul bantal seolah bantal itu pula yang salah. Atau lebih tepat lagi membayangkan lelaki itu yang menjadi mangsa pukulannya. 

Beast!” Jeritan itu tenggelam di dalam kelam malam. Hanya mampu didengari diri sendiri. Tiada siapa yang memahami. 

BRO, kau buat apa kat sini?” soal Dafiz hampir terkejut beruk dengan kemunculan Huzer. Buntang mata memandang wajah kacak temannya itu. Mahu memastikan dia tidak tersalah orang. 

Kalau hari-hari biasa dia boleh menghadam lagi kemunculan Huzer di sini walaupun jarang sekali lelaki itu sudi melepak di tempat begini biarpun dia selalu mengajak untuk berhibur bersama. Selalu benar ditolak. 

Tetapi malam ini lelaki itu langsung tidak sepatutnya muncul. Apa yang berlaku? 

Siang tadi dia melihat sendiri gadis yang menjadi pasangan Huzer di atas pelamin terhias indah. Cantik orangnya. Sempurna di mata. Cukup untuk meruntun nafsu mana-mana lelaki yang memandang.

Tak mungkinlah gadis secantik itu tidak dapat menjentik nafsu Huzer. Walaupun perkahwinan itu bukan atas dasar cinta, tidak bermakna hidangan di hadapan mata tidak perlu disantap. 

Musykil ni. Mata Dafiz meneliti setiap inci wajah teman yang tidak tertulis sebarang emosi itu. Menghidap penyakit lumpuh tisu muka agaknya. 

Walaupun tiada emosi yang ditunjukkan, tetap tidak dapat membuang aura seksual yang menyelubungi lelaki itu. Bermakna sang isteri sudah kenyang disantap suami. 

Lalu untuk apa datang melepak di sini? Tak puas dengan isteri sendiri? Mahu menyantap gadis lain pula ke? 

Dafiz tergeleng sendiri. Tak mungkin itu berlaku. Selama berkawan dengan Huzer, dia tidak pernah lihat ada gadis yang berani dekat dengan lelaki itu. Atau lebih tepat lagi aura lelaki itu cukup untuk memastikan gadis-gadis yang cuba dekat terus menjauhkan diri. Menggerunkan. 

“Dah puas mengkaji?” soal Huzer sinis. Mata mencerun tajam pada teman yang sedang sibuk membuat spekulasi sendiri. 

Bro, malam ni patutnya kau tengah sedap ulit si cantik. Apasal muncul kat sini? Takkan tak kenyang lagi?”

Dafiz mengusap dagu yang berjanggut sejemput. Tak cukup dengan satu ke? Manalah tau lepas hilang teruna terus jadi buaya. Mahu lebih dari seorang. 

Huzer tersenyum sinis. Tak kenyang? 

Imej sang isteri yang memberontak tidak sudi disentuh terlayar di mata. Lagi si isteri tidak sudi, lagi suka dia memastikan keinginan itu tidak tertunai. 

Biarpun sebelum ini dia tidak berminat untuk dekat dengan mana-mana gadis, bila sudah menjadi isterinya takkan mungkin dibiar tanpa disentuh. Dia masih lelaki normal. Hak seorang suami tetap dituntut. 

Dafiz tergeleng sendiri bila tidak mendapat reaksi dari temannya itu. Berat benar mulut mahu berbicara. 

Bercakap dengan orang bisu lebih baik dari bercakap dengan Huzer. Pun begitu rasa ingin tahu buat Dafiz ringan mulut untuk terus bersuara.

“Aku rasa kau satu-satunya pengantin lelaki yang sanggup tinggalkan isteri waktu malam pertama. Kejam betul. Tak menangis isteri kau dapat suami macam ni?”

Makin sinis senyuman di bibir Huzer mendengar komen itu. Menangis. Siapa kata isterinya tidak menangis. Menangis kerana tewas di tangannya. 

Hanya kerana disentuh suami sendiri buat air mata tidak henti membasahi pipi mulus itu. Menyakitkan mata memandang. 

Dia tidak punya masa untuk melayan tangisan seorang perempuan. Merimaskan. Disebabkan itu, dia lebih senang mengangkat kaki sebelum tengkingan bergema di hadapan sang isteri.

“Simpati aku dengan isteri kau. Cantik pun kena tinggal suami. Malam pertama patutnya dirai. Tapi kau…” Kata-kata Dafiz terhenti kala renungan tajam Huzer terasa begitu tajam menikam. Menggerunkan. 

Bila Huzer sudah begitu, lebih baik dia mengunci bibir. Tidak mahu menjadi mangsa amarah lelaki itu. Biarpun berkawan baik, tidak bermakna Huzer akan bersabar dengannya.

Berpuas hati dengan reaksi Dafiz, Huzer memejamkan mata yang terasa berat. Bayangan Atiya mula menari-nari di layar mata. Mengganggu ketenangan yang jarang dapat dikocak sesiapa. Wajah yang basah dengan air mata itu membuat rasa marah menggigit hati. Menangis untuk apa?!

Tangan terkepal tanpa sedar. Entah apa yang dimarahkan. Merimaskan. 

MATA yang bengkak dipaksa juga celik. Biar terasa begitu berat dia tetap tidak mahu mengganggu rutin harian. Bangun awal di subuh yang hening. 

Seluruh tubuh terasa sakit-sakit. Sengal di sana sini. Diketap bibir menahan amarah yang mula bergolak mengenangkan angkara siapa terjadi begini. 

Tidak bolehkah berlembut dengan isteri sendiri? Hati mula menghamun lelaki itu. Andai lelaki itu di hadapan mata, mahu sahaja ditumbuk-tumbuk melepaskan geram. Biar lelaki itu sedar yang dirinya bukan untuk dikasari. 

Dia bingkas bangun. Namun tindakan itu buatnya hampir terjerit bila tersedar akan kehadiran lengan yang membelit pinggangnya. 

Mata buntang kala mendarat pada lelaki yang entah bila pulang ke bilik. Dia langsung tidak sedar. Pulang senyap-senyap. Macam penyamun! 

Atiya cuba merungkai belitan di pinggang. Cubaannya itu sebaliknya mengeratkan lagi belitan itu. Malah tubuhnya ditarik ke dalam dakapan hangat seorang suami. 

Bibir Atiya terbuka tanpa kata. Mahu menghamun terasa tidak kena. Namun dia tidak sudi terus berada di dalam dakapan lelaki itu.

Sudahlah tidak berbaju. Bau asap rokok yang menyengat hidung buatnya hampir terbersin. Bertaut rapat dahi Atiya memikirkan apa yang dibuat lelaki itu semalam. 

Berfoya-foya di luar ke? Soalan itu tidak berlegar lama di fikiran. Isu lebih penting harus ditangani. 

Dia mula meronta cuba lolos. Sesaat pun tidak sudi bermanja di dalam dakapan lelaki itu. Apatah lagi bila bibir lelaki itu mula merayap di lehernya. 

Rasa gerun mencengkam dada. Dia tidak sanggup mengulang babak semalam. Tidak rela dikasari sekali lagi. 

“Lepaslah!” deram Atiya kasar. 

Bibir yang begitu berani menderam pada suami sendiri ditakluk mudah. Mendiamkan segala protes sang isteri. 

Atiya mula menumbuk dada bidang yang memerangkap tubuhnya. Apa sangatlah daya seorang isteri kala berdepan dengan suami yang selalu menghabiskan masa di gym memastikan tubuh dijaga rapi. 

Tangan yang sibuk memukul dadanya ditangkap mudah lalu dipaku ke tilam empuk. Memastikan tubuh di dalam dakapannya tidak mampu terus meronta. 

Atiya hanya mampu mendengus kasar. Tidak berdaya melawan keinginan lelaki itu. Yang hairannya kali ini layanan lelaki itu tidak seperti semalam. Lebih lembut seolah bimbang menyakitinya. 

Apa yang berlaku? Kenapa tiba-tiba berubah laku? Kenapa tidak berkasar seperti semalam? 

Soalan yang baru ingin mengganggu hilang sekelip mata bila sang suami mula mendominasi. Seolah mahu hanya dirinya berada di dalam fikiran seorang isteri. Hanya dia yang patut berada di situ. 

Ego lelaki mula memainkan peranan. Mahu isteri meletakkannya di tempat yang tertinggi. Mendengar perintah. Mengikut segala arahan. Jangan sesekali melawan!

 

MATA mencerun tajam pada imej di cermin yang mampu menimbulkan belas di hati sesiapa yang melihat. Merah dan biru jelas kelihatan di kulit yang sebelum ini tiada celanya. 

Bibir terketap menahan amarah yang bergolak. Amarah yang tidak dapat diluahkan. Bimbang jika bibir berani memprotes, tubuhnya sekali lagi akan menjadi mangsa. 

Jemari naik ke mata yang bengkak. Sukar untuk celik. Kesan menangis hingga terlupa yang pagi ini dia perlu bersemuka dengan keluarga mentua. 

Keluhan berat terletus di bibir. Mengeluh. Hanya itu yang mampu dilakukan. Tidak berdaya memarahi lelaki yang tidak peduli. Jika peduli tentu sahaja dirinya tidak akan dilayan begini. 

Bagaimana mahu berdepan dengan keluarga mentua? Pasti timbul persoalan yang sukar untuk dijawab. 

Tawa kecil meledak tiba-tiba. Kenapa perlu bimbang? Bukannya keluarga mentua tidak tahu yang perkahwinan ini bukan berlandaskan cinta. Lalu tiada apa yang perlu ditutup. 

Biarkan sahaja mereka melihat bengkak di matanya. Biar mereka tahu yang dia tidak sudi bersama anak lelaki mereka. Biar mereka rasa bersalah terhadapnya. 

Bibir tersugil senyuman sinis. Tubuh direbahkan di dalam tub mandi. Menghilangkan rasa lesu yang mencengkam. Mata mula terpejam rapat. Tidak sedar masa berlalu begitu pantas hingga sang suami terpaksa muncul di sisi. 

Bertaut dahi Huzer merenung tajam gadis yang nampak tenang dalam lena. Langsung tidak sedar akan bahaya menanti. Hampir tenggelam di dalam tub mandi yang cetek. Boleh lemas tanpa sesiapa pun tahu. 

Ada api yang menyala dalam sepasang mata hitam itu.  Perempuan ni memang tidak tahu menjaga diri! 

Sekelip mata tubuh yang basah itu berada di dalam rangkulannya. Tuala yang tersangkut di dinding dicapai lalu dibalut tubuh seksi itu agar tidak kesejukan. 

Huzer melangkah keluar dari bilik air menuju ke katil. Tubuh genit di dalam rangkulan direbahkan di katil. Rambut yang basah turut dibalut dengan tuala kecil. 

Sepasang mata milik Atiya bergerak-gerak ingin celik. Mungkin kerana terlalu letih, Atiya terus lena tanpa sedar apa yang berlaku. 

Melihat sang isteri begitu, rasa marah di dada membuak-buak tanpa dapat dikawal. Bayangkan jika dia tidak menerjah masuk tadi!

Mahu sahaja digoncang tubuh itu. Biar sedar apa yang hampir terjadi. Niatnya itu berkubur kala mata tertancap pada kesan yang ditinggalkan pada kulit putih milik Atiya.

Makin rapat tautan di dahinya melihat kesan yang begitu jelas di mata. Tidak dapat ditutup. Seolah dia begitu hebat mendera isteri sendiri malam tadi. 

Huzer mendengus kasar sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik air. Membersihkan tubuh sebelum ke pejabat. 

TEGANG. Itu yang dirasakan ketika ini. Suasana hening mencengkam mereka yang berada di meja makan. Masing-masing tidak bersuara. Sekadar mengerling pada pasangan pengantin yang berwajah keruh. 

Wajah pasangan pengantin jelas tidak bahagia. Langsung tidak cuba menyembunyikan rasa tidak puas hati di dada. Terpaksa. 

Puan Ruwaida dan Tuan Husayn berpandangan sesama sendiri sebelum mata kembali mendarat pada si anak dan menantu. Mata bengkak si menantu menimbulkan kerutan di dahi. 

Puan Ruwaida mengeluh kecil. Entah apa yang dilakukan anak sulungnya itu hingga bengkak benar mata menantunya. 

Atiya menunduk memandang pinggan. Memaksa diri menelan makanan. Perut menjerit lapar dek kehilangan tenaga akibat lelaki di sisinya semalam. Tekak pula tiada selera. Lalu dia sekadar menyumbat makanan ke dalam mulut tanpa sebarang rasa. 

Masakan dia punya selera setelah apa yang berlaku semalam. Ditambah pula dengan mata-mata yang menjadikannya mangsa. Memerhati apa yang tidak kena. 

Menyesal pula menangis tanpa cuba mengawal emosi. Tentu sahaja matanya yang bengkak menjadi isu. Akal mula menghamun diri. Pasti banyak tanda soal yang bermain di kepala mentuanya. 

Kurang senang dengan spekulasi yang mungkin bermain di kepala keluarga mentua buatnya menikam ayam masak merah di dalam pinggan geram. Seolah cuba meluahkan rasa berbuku di dada. Dan tindakan itu membuat blaus lengan panjang yang dipakainya terselak sedikit menampakkan pergelangan tangannya yang biru. 

Bulat mata Puan Ruwaida kala mata jatuh pada pergelangan tangan si menantu. Semalam langsung tiada cela. Kenapa hari ini seperti didera? 

Mata Puan Ruwaida mencerlung tajam ke arah si anak. Curiga dan bimbang menjentik hati. Takkan anaknya sampai sanggup mendera.

Huzer yang menjadi mangsa panahan tajam mata milik Puan Ruwaida turut mengerling ke arah punca datangnya amarah wanita veteran itu. Berkerut dahinya melihat pergelangan tangan sang isteri. 

“Tiya,” seru Puan Ruwaida lembut. 

Atiya mengangkat wajah. Memandang wajah mentua yang jelas risau. Risau tentang apa?

“Kenapa tangan Tiya tu?” soal Puan Ruwaida ingin tahu. Jika benar anaknya yang mendera, dia tidak akan teragak-agak membela menantunya. 

Mata Atiya mendarat pada pergelangan tangan yang sedikit terdedah. Cepat-cepat ditutup tidak mahu kesan lebam itu menjadi tontonan umum. 

Kerana tidak mahu timbul salah sangka, dia mencari blaus yang sopan untuk dipakai biarpun sekadar berada di rumah. Menutup sebarang cela di tubuh. 

“Cakap kat mama, Tiya. Huzer pukul Tiya ke?” soal Puan Ruwaida tegas. Mata menjeling si anak yang tidak punya riak bersalah. Malah tidak tertera sebarang emosi. Seolah isu yang dibicarakan tiada kaitan dengannya. 

Atiya menggeleng pantas. Biarpun semalam dirinya dikasari, dia tidak berniat untuk membusukkan nama suami sendiri. Lagi pula lelaki itu tidak cuba menderanya. 

“Huzer!” Suara Tuan Husayn melengking tinggi. Dia tahu perkahwinan ini bukan atas kerelaan anak sulungnya itu. Tidak bermakna Huzer boleh melayan Atiya begitu. 

Atiya mengerling ke arah suami di sisi. Lelaki yang menjadi mangsa kemarahan mentuanya selamba menyuap makanan ke dalam mulut. Tidak terkesan langsung!

“Mama… papa…”

“Jangan takut. Mama dengan papa ada. Kalau Huzer pukul Tiya… mama takkan…”

“Bukan!” tegas Atiya memotong bicara Puan Ruwaida. Tergeleng-geleng Atiya menidakkan. 

Dia menarik nafas dalam-dalam. Bagaimana mahu menerangkan pada mentua apa sebenarnya yang berlaku?

Bolehkah dia menceritakan pada si mentua yang lebam di tubuhnya terhasil kerana meronta kala suami sendiri menuntut hak dari seorang isteri? 

Mana mungkin dia membuka pekung di dada sendiri. Memang benar silapnya yang tidak sudi. Namun bolehkah mereka menyalahkannya? 

Kerana dia yang tidak rela, menimbulkan amarah seorang suami. Lalu lelaki itu langsung tidak mengawal tenaga seorang lelaki hanya kerana mahu dia menyerah kalah. Cengkaman di tubuhnya bukan perlahan. Sebaliknya menyakitkan hingga meninggalkan kesan mencela kulit. 

“Kalau bukan… kenapa?” soal Puan Ruwaida keliru. Tuan Husayn tidak lagi cuba menyampuk bila si menantu menafikan tuduhan mereka. 

“Tiya… Tiya…” Bibir kelu untuk berbicara. Alasan apa yang sedap didengar? Menuduh anak mereka tidak dapat mengawal diri? 

Huzer tersenyum sinis melihat sang isteri masih tidak mampu berbicara. Dia bingkas bangun. Tanpa sepatah kata melangkah pergi. Syarikat menjadi destinasi. Banyak lagi perkara yang perlu diuruskan dari berhadapan dengan tuduhan keluarga. 

Puan Ruwaida dan Tuan Husayn berpandangan sesame sendiri dengan tingkah si anak. Masing-masing mengeluh berat. Tidak tahu bagaimana mahu berinteraksi dengan Huzer yang jelas tidak meletakkan mereka di matanya. 

 

PINTU yang ditolak dari luar mengalihkan tumpuannya dari skrin telefon bimbit. Mata mendarat pada gerangan yang datang mengganggu. 

Bertaut dahi bila yang muncul si adik ipar. Belum sepatah pun mereka berbicara sebelum ini. Di meja makan tadi pun gadis itu hanya menjadi pemerhati. Tidak cuba membuka mulut. Lalu untuk apa muncul di biliknya ketika ini?

Nasuha tersenyum manis bila dirinya menjadi mangsa renungan Atiya. Dia merapati. Tanpa dijemput dia melabuhkan punggung di birai katil. Mata tunak memandang wajah kakak ipar yang bersih tanpa sebarang solekan. Cantik. 

Atiya menanti Nasuha membuka mulut. Ingin tahu apa yang dimahukan adik iparnya itu. Dia sendiri berat untuk bertanya.

“Kak Tiya okey ke?” soal Nasuha lembut. Ada rasa bersalah menggigit hati. Secara tidak langsung dia menjadi penyebab si kakak ipar terheret menjadi isteri kepada abangnya. 

“Okey,” balas Atiya sepatah. 

Mata Nasuha jatuh pada pergelangan tangan Atiya yang terdedah. Hati mula mengutuk abang kesayangan sendiri yang jelas tidak tahu berlembut dengan perempuan. 

“Abang Huzer tu… dia tak pernah dekat dengan perempuan. Kak Tiya jangan ambil hati dengan dia tau. Dia tak biasa,” tutur Nasuha lembut. Cuba mencipta imej positif si abang di mata kakak iparnya. 

Dia tidak mahu Atiya membenci abang kesayangannya itu. Hubungan yang baru terikat harus dipastikan berkekalan. Bukan senang untuk abangnya sanggup berkompromi menamatkan zaman bujang. 

Andai dibiarkan kakak iparnya membenci, bagaimana hubungan yang sepatutnya terikat mati berkekalan ke hujung nyawa?

Tak biasa? Rasa ingin menjerit sahaja mendengar bicara si adik ipar. Tak biasa tetapi membahamnya hingga tidak bersisa? Tak biasakah begitu? Atau terlalu biasa sebenarnya?!

“Abang Huzer tu…”

“Tak perlu bela dia,” bidas Atiya geram. 

Di matanya bicara Nasuha sekadar ingin membela lelaki itu. Dia tidak sudi membuang masa untuk mendengar apa-apa tentang lelaki itu. 

“Suha tak cuba bela dia. Suha cuma harap Kak Tiya tak simpan dalam hati. Abang Huzer dah jadi suami Kak Tiya. Lagi senang untuk Kak Tiya kalau Kak Tiya tahu tentang Abang Huzer.”

Bersungguh-sungguh Nasuha cuba melembutkan hati Atiya. Abangnya tidak pandai melayan perempuan. Tidak bermakna sengaja ingin mendera. 

“Tak perlu,” balas Atiya dingin. Dia tidak berniat untuk melayan dingin si adik ipar. Namun bila soal lelaki itu yang diungkit, dia tidak dapat mengawal diri dari membidas. 

Dia tidak ingin tahu apa-apa pun mengenai lelaki itu. Tidak berminat. Tidak penting baginya. Lalu kenapa sibuk mengambil tahu? 

Nasuha mengeluh berat. Kalau begini reaksi isteri abangnya, bagaimana cinta mahu berputik?

“Abang Huzer lelaki yang baik,” ucap Nasuha bingkas bangun dari katil. Dipandang sejenak wajah yang jelas menyimpan marah terhadap abangnya itu. 

Sekali lagi keluhan terletus di bibir. Jika di pihak kakak ipar tidak sudi berkompromi, dia perlu mencuba di pihak si abang pula. Mungkin si abang lebih mudah dipujuk. 

Perkahwinan ini terjadi punya kaitan dengan dirinya. Lalu dia mahu memastikan hubungan abang dan kakak iparnya membawa makna. Sekurang-kurangnya pengorbanan yang dilakukan menghadirkan bahagia buat dua insan. 

Atiya mendengus kasar sebaik Nasuha hilang dari pandangan. Dia mungkin tersalah dengar agaknya. Lelaki yang baik? Huzer?

Terletus tawa sinis di bibir bila cuba memadankan imej suami sendiri dengan perkataan itu. Terlalu lucu. Jauh sekali menyimpang. 

Lelaki yang baik tidak akan mengheretnya ke dalam perkahwinan yang tidak sepatutnya terjadi. Lelaki yang baik pasti mengikut sahaja aturan keluarga. Tidak cuba merosakkan perancangan yang sudah lama dibuat. 

Dan lelaki yang baik tidak akan merosakkan bahagianya! Hanya satu perkataan yang sesuai untuk menghuraikan peribadi lelaki itu. Kejam!

SEBAIK mata mendarat pada sesusuk tubuh tinggi lampai yang sepatutnya bercuti seminggu setelah melangsungkan perkahwinan, Nan terus bingkas bangun lalu menyaingi langkah majikannya itu. Lagak pembantu terbaik. 

Setiap kali majikannya masuk ke pejabat, sudah menjadi tugas utamanya untuk menyampaikan segala maklumat terkini demi pengetahuan lelaki itu. 

Bibir laju menyampaikan maklumat tanpa dipinta si majikan. Menyaingi langkah panjang lelaki itu hingga tiba ke bilik eksklusif milik peneraju syarikat. 

How about Raj?” soal Huzer senada sebaik melabuhkan punggung di kerusi empuk. Mata tunak memandang pembantu setianya itu. Sudah bertahun-tahun kekal di sisinya. Pembantu yang cekap. Menepati piawaian yang ditetapkan. 

Raj will be here by evening.”

“Bagitahu dia… terus datang jumpa I,” arah Huzer tegas. 

Noted, boss,” sahut Nan serius. 

Soal projek bermasalah di Melaka menjadi isu yang perlu ditangani segera. Dia tahu majikannya itu menitikberatkan kesempurnaan. Masalah yang timbul pasti menjemput amarah lelaki itu. 

“Ada apa-apa lagi, bos?” soal Nan setelah melihat bibir majikannya terkunci rapat. Mata mula fokus pada fail di atas meja. Soalannya hanya dibalas dengan gelengan sekilas. 

Nan tersenyum sumbing. Berat benar bibir itu mahu bersuara. Macam ada ketul emas. Jika tiada perkara penting, jangan haraplah dapat mendengar suara maskulin lelaki itu. 

Pun begitu, dia sudah terbiasa berkhidmat di sisi lelaki itu. Dia tergeleng-geleng sendiri. Kepala mula ligat mengutuk majikan sendiri. 

Mana ada pengantin baru masuk kerja esok harinya. Sekurang-kurangnya bercuti dua atau tiga hari. Menikmati masa bersama isteri. 

Simpati bercambah buat isteri lelaki itu. Baru sehari bergelar isteri dilayan dingin suami. Kasihan. 

“Ada apa lagi?” soal Huzer sinis kala melihat pembantu ‘lelakinya’ itu masih tercegat di hadapan mata. 

Pantas Nan menggeleng. Kaki laju melangkah ke pintu. Terhenti sejenak saat bibir ringan melontarkan soalan. 

“I ingat you cuti, bos.”

“Bila I cakap I cuti?” bidas Huzer sinis. 

Nan menggaru kepala yang tidak gatal. Benar. Huzer tidak pula memberitahu padanya yang lelaki itu akan bercuti. Sebaliknya maklumat itu disampaikan oleh pembantu Tuan Hidir. Datuk kepada bosnya. Lelaki yang membangunkan HLA Corporation dari bawah. 

Nan tidak menunggu lama sebelum menghilangkan diri dari pandangan. Huzer terus fokus pada laporan di tangan. 

Saat ini ada imej yang hadir mengganggu. Sesusuk tubuh dipenuhi ‘tanda’ yang ditinggalkannya menimbulkan kerutan di dahi. Kurang senang dengan imej itu. Mencacatkan pandangan. Mencela kulit yang sepatutnya indah dijamah. 

Sekejapan pembantunya dipanggil semula ke dalam bilik. Sepantas kilat Nan muncul di hadapan mata. 

“Ada apa, bos?” soal Nan penuh tanda tanya. Jarang untuknya dipanggil semula.

Go and get me something.”

“Benda apa, bos?” Misteri benar bunyi arahan itu.

Soothing cream.”

Bulat mata Nan mendengar benda yang dimahukan lelaki itu. Krim sapu untuk lebam? Mata meneliti lelaki yang nampak sempurna di mata. Tiada kesan sebarang kecederaan pula. Untuk siapa?

Send to my wife,” arah Huzer senada. Kemudian dihalau keluar pembantunya itu supaya fokusnya tidak terus diganggu. 

Walau keliru dengan permintaan si majikan, sebagai pembantu yang cekap, dia akan memastikan setiap arahan lelaki itu dipenuhi. 

“Takkan ganas sangat kot?” Digaru-garu kepala yang tidak gatal. Bibir tersenyum sumbing. 

Sejak bila pula bosnya pandai mengambil berat tentang perempuan ni? Bila sudah ada isteri, lelaki mudah benar berubah. Lelaki seperti Huzer juga tidak terkecuali agaknya. 

 

NASUHA selamba melangkah masuk ke dalam bilik peneraju syarikat tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Hanya dia seorang begitu berani mengganggu abangnya yang terkenal dengan aura yang mampu menggerunkan ramai.

Huzer mengangkat wajah melihat gerangan yang begitu berani. Tidak perlu meneka pun dia sudah dapat mengagak. Hanya si adik mampu melangkah masuk ke bilik pejabatnya seperti bilik ini milik gadis itu juga. 

Bibir pink Nasuha tersenyum ceria. Tidak gentar dengan sepasang mata yang merenungnya tajam. Kurang senang dengan sikapnya yang sesuka hati menerjah masuk begitu. 

Biarpun tahu si abang tidak suka, dia tetap mengulang perkara yang sama. Tidak kira di rumah atau di pejabat. Ingin melihat reaksi berbeza di wajah kaku tanpa emosi itu. 

Tanpa disuruh dia melabuhkan punggung di kerusi bertentangan si abang. Berpeluk tubuh menongkat dagu.

“Nak apa?” soal Huzer tidak punya masa untuk melayan Nasuha. Sekejap lagi dia perlu keluar untuk bertemu klien besar syarikat. Berbincang tentang projek kerjasama terbaru. 

“Kerek,” selar Nasuha selamba. Bibir tercebik protes. 

“Nak apa?” soal Huzer sekali lagi. Sepasang mata hitam yang merenung tajam itu mula menunjukkan sedikit emosi. 

Nasuha kembali tersenyum lebar. Hanya dengannya Huzer punya kesabaran untuk melayan. Sudi memperuntukkan masa walau sekejap cuma. 

Walaupun bicara Huzer serius 24 jam, dia tetap dapat merasakan hangatnya kasih seorang abang. Mungkin Huzer tidak seperti abang-abang lain yang begitu mesra berinteraksi dengan adik mereka. Namun setiap emosi yang ditunjukkan lelaki itu lebih berharga buatnya. 

Yang sukar untuk digapai itu lebih bernilai bila tercapai. Dan dia sedar hanya dia seorang sahaja yang berjaya mendapat perhatian lelaki beku itu. 

“Kenapa Abang Huz kasar sangat dengan Kak Tiya?” soal Nasuha ingin tahu. 

“Kasar?” Bila isterinya menjadi sebutan, imej tubuh seksi itu mula mengganggu layar ingatan.

“Lebam tu…” Nasuha tidak menghabiskan ayat yang ingin diungkap. Terasa serba tidak kena. Dia tidak percaya abangnya sanggup mendera. 

“Balik,” arah Huzer serius. Walaupun dia memanjakan Nasuha, soal rumah tangganya bukan untuk dibincangkan dengan gadis itu. 

Nasuha memekakkan telinga. Arahan itu dianggap ibarat angin lalu. Dia masih ingin ‘mengajar’ si abang cara melayan isteri dengan lebih lembut. 

Jika berkasar begini bagaimana kakak iparnya boleh jatuh cinta pada suami sendiri? Benci mungkin. Sayang? Jauh sekali.

“Suha nak cepat-cepat dapat anak saudara,” sungutnya memancing Huzer. 

Huzer menjongket kening. Anak saudara? Seingatnya apa yang berlaku semalam dan subuh tadi sudah cukup untuk memenuhi keinginan adiknya itu. Jika tidak cukup, malam ini pun boleh dipastikan keinginan adiknya tercapai. 

Tiada apa yang menghalang untuk dia berusaha mendapatkan anak saudara buat Nasuha. Malah dia lebih dari sudi meneruskan aktiviti yang sudah sememangnya menjadi satu kewajipan seorang suami. Memberi nafkah batin wajib, bukan? 

On the way,” balas Huzer senada.

Jawapan si abang meledakkan tawa di bibir Nasuha. On the way? Mungkinkah lebam di tubuh si kakak ipar hasil tangan abangnya yang tidak tahu mengawal tenaga sendiri? Terlalu teruja mendapat si dara hingga meninggalkan kesan tidak sepatutnya? 

Tidak mustahil itu yang berlaku. Abangnya itu masih teruna sebelum ini. Tidak berpengalaman seperti lelaki-lelaki moden yang begitu senang membawa perempuan ke bilik tidur. 

Kekurangan skill atau terlebih guna tenaga masih boleh dimaafkan. Kekurangan skill? Macam tidak kena dengan imej abangnya. No way!

Akal Nasuha mula nakal membuat spekulasi. Menjelajah daerah ‘kuning’ yang tidak sepatutnya untuk seorang dara. 

“Abang Huz kena lembut sikit dengan isteri. Baru Kak Tiya sayang,” sogok Nasuha masih cuba menasihati si abang.

Sayang? Emosi seperti itu tidak perlu wujud dalam hubungannya dengan Atiya. Dia tidak berminat untuk terjebak dalam permainan perasaan yang tidak penting di matanya. 

“Kak Tiya tu lembut orangnya.”

Lembut? Tersugil senyum sinis di bibir. Babak semalam terlayar semula di mata. Saat sang isteri meronta tidak sudi, ke mana hilang kelembutan yang disogok adiknya? 

Jika bukan kerana gadis itu yang berkeras tidak sudi, dia juga tidak akan menyakiti. Seingatnya dia belum punya hobi menyakiti gadis demi kepuasan sendiri. Atau lebih tepat lagi dia tidak pernah terlintas untuk berada dekat dengan mana-mana gadis sekalipun. 

“Abang Huz dengar tak ni?” soal Nasuha geram bila tidak mendapat respons dari si abang. 

“Abang ada kerja, Suha,” ucap Huzer senada. Tegasnya tetap terasa.

Nasuha menayang wajah ketat. Tercebik bibir menunjukkan protes. Dia bingkas bangun. Tahu bila perlu berundur. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari bilik. Meninggalkan Huzer dengan kerja yang tidak pernah surut. 

Sebaik keluar dari bilik si abang, dia bertembung pula dengan pembantu ‘lelaki’ abangnya itu. Kening terjongket lalu menghampiri ‘lelaki’ itu. 

“Pergi mana tadi?” soal Nasuha ingin tahu. Jarang si pembantu abangnya itu menghilang bila abangnya ada di pejabat. 

“Cik Suha buat apa kat sini?” soal Nan teruja melihat adik si bos muncul di syarikat. Kepala mula merencana. Nampaknya dia tidak perlu ke rumah bos untuk menghantar krim yang siap dibelinya. 

“Apa tu?” Mata Nasuha melirik pada krim di tangan Nan yang menarik perhatiannya. 

“Cik Suha boleh tolong tak?”

“Tolong apa?”

“Tolong pass dekat madam.”

Madam?

“Isteri bos la.”

Terjongket kening Nasuha mendengar permintaan itu. Krim apa yang mahu dikirim pada kakak iparnya itu?

“Krim sapu untuk cepat hilangkan lebam.”

Makin tinggi jongketan kening Nasuha. Mata melirik ke pintu bilik si abang. Bibir tersugil senyuman penuh makna.

“Abang I yang suruh you beli, kan?”

“Kalau bukan bos I yang suruh… buat apa I sibuk belikan untuk madam?” 

Betul juga. Nasuha sudah tersengih bagai kerang busuk. Mata bersinar galak mendapat maklumat tentang si abang. 

“Nak tanya sikit ni…” Nan mula ringan mulut ingin bergosip. 

“Tanya apa?” Nasuha pula seronok melayan. 

“Bos ganas sangat ke semalam?” Nan sudah mengulum senyum menahan tawa.

“Kakak ipar I cantik sangat,” balas Nasuha penuh makna mendalam. Meledak tawa Nan mendengar jawapan itu. 

Nasuha tidak menunggu lama sebelum menyambar krim di tangan pembantu abangnya itu. Tidak sabar mahu diserahkan kepada si kakak ipar. Biar sejuk hati seorang isteri. 

ATIYA menjeling si adik ipar yang sekali lagi masuk ke biliknya tanpa diundang. Selamba sahaja gaya gadis itu. Seperti bilik ini biliknya pula. Buat harta!

‘Nak apa lagi? Bukan tadi keluar ke? Menyibuk aje datang sini.’ Hati bersungut terganggu. 

Bila si abang sudah dibenci, kehadiran si adik juga tidak dialu-alukan. Dia tahu Nasuha rapat dengan lelaki itu. Tentu sahaja tidak akan berpihak padanya. 

Tengoklah, belum apa-apa lagi sudah membela si abang. Mahu dia cuba menerima abang kesayangan gadis itu. Mana mungkin itu terjadi. 

“Ni untuk Kak Tiya,” ucap Nasuha ceria menghulurkan krim di tangan pada si kakak ipar. 

Mengecil mata Atiya memandang krim yang mencurigakan. Untuk apa?

“Krim ni bagus untuk lebam,” tambah Nasuha lagi. Mata melirik pada pergelangan tangan Atiya yang biru. Jelas kelihatan bekas jemari panjang abangnya di situ. 

Dahsyat sangat ke Abang Huzer mendera? Dia yang melihat pun terasa gerun. Lagikan Atiya yang terdera. 

Sudahlah kakak iparnya itu genit sahaja orangnya. Nampak lembut benar. Mana dapat melawan abangnya yang sasa itu. 

Baru dicengkam sedikit sudah lebam. Jika bergelut dia tidak dapat membayangkan apa yang terjadi.  Hati mengeluh sendiri. Kasihan. 

Atiya sekadar memandang. Tidak berniat mahu mengambil pemberian itu. Bimbang dengan makna sebaliknya.

“Tak nak?” soal Nasuha lembut. 

“Simpan la untuk Suha.”

“Kalau krim ni untuk Suha memang Suha simpan. Soalnya sekarang krim ni untuk Kak Tiya,” betah Nasuha terus meraih tangan si kakak ipar lalu memaksa tangan Atiya untuk menerima. 

Untuk aku? Hati mula berbisik yang tidak enak. Mata tertumpu pada krim sapu yang membawa rasa kurang senang di dada. 

“Ada orang kirim krim ni tau. Suha cuma jadi penyampai aje,” pancing Nasuha melirik pada wajah serius si kakak ipar. Tiada riak tertanya-tanya di situ. 

Suami dengan isteri sama sahaja. Bijak menyembunyikan emosi. Terletus keluhan di bibir. 

“Nak tahu tak siapa yang kirim?” Nasuha masih belum mengalah. Menyogok si kakak ipar. Menimbulkan tanda tanya. 

“Siapa lagi kalau bukan suami Kak Tiya. Suha keluar dulu tau. Jangan lupa sapu krim tu. Malam nanti dah baik lebam tu boleh sambung lagi,” tutur Nasuha selamba. Sempat lagi menggiat pengantin baru. 

Bertaut dahi Atiya mendengar perkataan ‘bersambung’ yang menimbulkan gerun di hati. Dia tidak berani memikirkan maksud di sebaliknya. Tidak sudi mengulang babak semalam.

“Jangan risau. Suha dah basuh Abang Huz tadi. Malam ni…”

“Suha!” deram Atiya tidak rela si adik ipar terus berbicara soal yang tidak sepatutnya. Wajahnya terasa berbahang biarpun dia cuba mengawal emosi sendiri. 

Meledak tawa Nasuha bila akhirnya mendapat reaksi daripada si kakak ipar. Dia melangkah ke pintu. Bersedia meninggalkan Atiya sendiri. Langkahnya terhenti sejenak. Berpaling ke arah Atiya yang memerah wajahnya. 

“Kak Tiya… Abang Huz tak pernah ambil peduli tentang orang lain sebelum ni,” ucap Nasuha. Kali ini tiada lagi nada gurauan yang kedengaran. Sebaliknya serius memaksudkan. 

Atiya merenung tajam pintu bilik yang kini tertutup rapat. Seperti cuba tembus hingga ke luar bilik. Krim di tangan dicampak jauh biar tidak terlihat di mata. 

Siapa mahu lelaki itu peduli? Lebih baik lelaki itu menjauhkan diri. Tidak ingin didekati. Lagi jauh lagi bagus la!

 

SEBAIK sahaja lelaki itu melangkah masuk ke dalam bilik, Atiya mula rasa tidak senang duduk. Panas punggung tiba-tiba. 

Kaki terasa mahu lari seribu batu agar tidak perlu berada di dalam satu bilik dengan lelaki itu. Bibir diketap rapat. Menghalang diri dari bersuara. Seolah cuba menyembunyikan kehadirannya di dalam bilik yang terang dan nyata.

Huzer melirik pada sang isteri yang kini bingkas duduk di birai katil. Tidak berbaring seperti tadi saat dia menolak pintu. Jelas tidak selesa dengan kehadirannya. 

Dia melonggarkan ikatan tali leher memberi ruang untuk bernafas dengan lebih bebas. Mata melirik pada jam di dinding yang menunjukkan angka 10. 

Lewat pulang menjadi rutin harian padanya yang meletakkan soal syarikat di tangga teratas. Satu per satu butang kemeja ditanggal. Menayang tubuh yang terbentuk otot kekar.

Atiya menelan liur yang terasa berpasir. Biarpun tidak mahu memandang, dari ekor mata tetap terlihat juga tayangan percuma tubuh suami. 

Hati bergetar bimbang. Lelaki itu tidak akan menuntut perkara yang sama seperti semalam, kan? Tidak akan menjadi serigala yang membaham arnab yang tersepit, kan?

Sesungguhnya dia tidak rela! Jika boleh dia ingin menidakkan hak yang satu itu. Mereka berkahwin bukan atas dasar suka. Lalu kenapa lelaki itu perlu menyentuhnya?

Dia tidak membuat tuntutan nafkah. Lelaki itu tidak perlu bermurah hati membayar nafkah yang tidak dipinta. 

Hati menjerit, meraung dan menghamun lelaki itu. Kalaulah berada di rumah sendiri, sudah lama dia angkat kaki. 

Masalahnya sekarang dia berada di rumah mentua. Apa kata mentua jika dia meninggalkan anak mereka di malam hari? 

Huzer mungkin tidak kisah berbuat begitu semalam. Dia sebagai menantu berbeza statusnya. Perlu menjaga diri. Perlu tahu menghormati keluarga mentua supaya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.

Huzer mencapai tuala sebelum melangkah ke bilik air. Langkahnya terhenti kala mata mendarat pada krim di lantai. 

Dia menunduk mencapai krim itu lalu berpaling ke arah sang isteri. Bibir tersenyum sinis. Kaki melangkah ke katil.

Bulat mata Atiya kala sang suami merapati. Ada debaran mula menghentak dada. Dia menahan diri turun dari katil untuk bersembunyi seperti pengecut. 

Dia cuba memberanikan diri. Tidak mahu kelihatan lemah di mata lelaki itu. Menanti derap langkah lelaki itu terhenti. 

Take it off,” arah Huzer senada.

Take it off? 

Terkebil-kebil mata Atiya sukar mahu percaya dengan apa yang didengarinya. Dia tidak salah dengar, kan? Atau arahan itu membawa maksud yang berbeza?

Take it off,” ulang Huzer sudah mula membuka penutup krim di tangan. 

Jika isterinya tidak tahu menyapu sendiri krim yang diberi, tangannya ringan untuk membantu. Jemarinya tidak kisah menyentuh kulit mulus itu. 

Are you crazy?!” deram Atiya bengang. 

Dia benar-benar tidak salah dengar. Lelaki itu mahu menyapu krim di tubuhnya. Dah gila agaknya. Tak perlu! 

Crazy, huh?” Sinis soalan itu. 

Sepasang mata tajam melata di tubuh isteri yang masih sempurna dilitupi blaus dan skirt labuh. Masih sopan di malam hari. Seolah bimbang mata nakal seorang suami melihat apa yang sepatutnya dipertontonkan. 

“You nak buat sendiri…”

“I buat sendiri!” potong Atiya laju. Terus dirampas krim di tangan lelaki itu lalu dibawa ke dada. Bimbang lelaki itu merampas kembali krim itu dan memaksanya menurut perintah. 

Wajah mula berbahang sendiri. Merah. Sepasang mata yang tidak lepas merenung buatnya seperti cacing kepanasan. Rasa mahu sahaja dicucuk sepasang mata hitam itu. Biar buta. Humph!

I will check later,” ucap Huzer sebelum menghilang ke dalam bilik air. Tidak peduli pada reaksi sang isteri. 

Berapi mata sang isteri merenung pintu bilik air. Seperti mahu membakar penghuninya. Biar sampai rentung.

Nak check apa, hah? Dah gila agaknya. Betul-betul gila. Hati menjerit sakit. Menghamun sejuta kali lelaki yang tidak tahu malu. Benci!

 

Shopping Cart
Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support
error: Content is protected !!