Aku Yang Menantimu
Bahagia. Bertahun-tahun bibir mekar dengan senyuman indah. Bibir yang sentiasa membisikkan cinta dan setia pada nakhoda sebuah rumah tangga.
Malang sekali bahagia itu cuma wujud di antara seorang isteri dan suami. Tiada kewujudan si kecil yang diharap-harapkan. Membuat dunia mereka terasa sepi.
Tidak tahu di mana salahnya. Kenapa hingga ke hari ini mereka masih belum diberikan tanggungjawab itu untuk dipikul. Tidak layakkah mereka?
Bila jawapan itu muncul, bersediakah mereka untuk berdepan dengan kebenaran? Akan hancurkah rumah tangga yang selama ini tidak pernah berantakan?
Penulis: Muna Mahira
Terbitan: Permata Hiraz
SEHIDUP semati itu mungkin mustahil. Tapi selagi nyawa masih dipinjamkan Tuhan… Timi akan setia di sisi abang,” ucapku mengungkap janji. Indah kedengaran di telinga seorang suami.
“Setia? Cukup dengan setia, hurm?”
Suara garau sang suami berbisik lembut. Mempersoalkan kesudian seorang isteri untuk sentiasa berada di sisi suami yang menjadi pilihan hati.
“Tak cukup?”
Soalan kubalas dengan soalan. Senyuman mekar melata di bibir.
Berani benar dia mempersoalkan kesudian seorang isteri untuk kekal setia hingga ke hujung nyawa. Itu tanda cinta yang melata di hati ini. Sentiasa ingin bersama dia sampai aku menutup mata. Atau dia yang akan lebih dulu pergi. Tiada kepastian di situ. Yang nyata aku ingin meniti hari tua bersama dia.
Soal ajal dan maut menjadi satu misteri hingga tiba saat Izrail datang menjemput. Tiada siapa yang tahu.
“Abang mahukan lebih dari tu, sayang,” bisik dia lembut di cuping telingaku. Bisikan yang mampu menggetarkan sekeping hati. Buat bibir merekah sendiri.
“Hurm, apa lagi yang abang mahu?” soalku meletakkan jari telunjukku di dahi. Kononnya cuba berfikir. Menelah keinginan hati dia.
Apa lagi yang dimahukan dia? Segalanya sudah kuserahkan kepada dia. Jiwa dan raga.
Aku tak punya harta. Hanya sekeping hati dan tubuh untuk dimiliki seorang suami. Itu sahaja yang mampu kuberikan. Dan aku tahu itu sahaja yang dia mahukan.
Sang suami tersenyum penuh makna. Tidak memberi jawapan pada soalan itu. Sebaliknya kaki yang tadi menjejak lantai kini sudah tergantung di awangan dek tiba-tiba sahaja ditarik ke dalam rangkulan lelaki tinggi lampai itu.
Senyuman yang mekar di bibir bertambah mekar kala berada di dalam rangkulan hangat dia. Kepala kulentokkan di bahu lebar dia. Membiarkan dia membawaku ke tilam empuk.
Adakala tak semuanya perlu diungkap dengan kata-kata. Setiap sentuhan mampu menyampaikan apa yang berada di sekeping hati. Sentuhan yang mampu tembus ke dalam seluruh urat nadi.
Bulan yang mengambang penuh menjadi saksi perjalanan cinta aku dan dia. Menjadi saksi kehangatan asmara yang terus membara.
“TAK nak balik, hurm?” soal dia lembut. Memahami apa yang bermain di hati seorang isteri ketika ini.
Aku mengangguk perlahan. Mengiakan bicara dia. Rangkulan di pinggang dia kukejapkan. Menunjukkan betapa aku ingin terus melekat di sisi dia.
Sungguh aku tidak mahu pulang. Masih ingin meneruskan percutian bersama dia. Menghabiskan masa berdua tanpa gangguan sesiapa.
Sepasang mata hitam membuang pandang ke lautan biru yang membawa kedamaian di hati. Mampu membuat manusia lupa tentang masalah kehidupan walau untuk seketika cuma. Membawa ilusi yang dunia ini begitu indah.
“We can come again,” tutur dia memujuk lembut.
Aku tersenyum tawar. Walau berat aku tahu aku tidak boleh mementingkan diri. Sedar akan tanggungjawab di bahu dia.
Dia sudah mengambil masa seminggu untuk membawaku bercuti. Meninggalkan syarikat yang dalam proses berkembang maju. Syarikat yang memerlukan perhatian si pemiliknya.
Terletus keluhan berat di bibir. Berat untuk kembali ke ibu kota.
“Okey. Abang kena ingat janji abang,” tingkahku tegas. Mahu dia sentiasa meletakkan aku di dalam perancangan dia. Jangan sampai terlupa hanya kerana syarikat yang berada di dalam keadaan genting bila semakin berkembang pesat.
Aku isterinya. Perlu berada di tangga tertinggi. Sebelum syarikat dia wujud, aku sudah lama berdiri di sisi dia.
Ya, dia bukannya pewaris syarikat. Dia merangkak dari bawah. Membina syarikat hasil dari titik peluh sendiri. Tidak mengharapkan bantuan sesiapa.
Syarikat yang semakin berkembang pesat usianya cuma setahun jagung. Terlalu mentah. Namun membawa keuntungan yang lumayan dek berada di tangan si pemilik yang hebat mengatur rancangan. Sentiasa mengikut jalan yang diatur tanpa gagal.
Dan ketika ini syarikat terlalu memerlukan dia bila mula mengembangkan sayap ke daerah lain. Sebelum dia benar-benar sibuk, dia membawaku bercuti. Tanda tidak pernah melupakan aku.
Memikirkan itu buat senyuman kembali berbunga di bibir. Menjadi manusia tidak boleh terlalu tamak. Perlu bersyukur dengan apa yang dimiliki.
“Tak percayakan abang, hurm?” soal dia bersulam nada amaran.
Dia sama sekali tidak membenarkan keraguan timbul di hatiku. Mahu kutahu betapa dia mencintai aku. Betapa cinta dia tidak pernah berubah walau bertahun telah berlalu.
“Percaya. Percaya sangat,” tekanku tidak mahu dihukum dia. Kalau aku berani meragui, aku sendiri yang akan menerima padahnya.
Aku tidak mahu mengalami kesukaran untuk turun dari katil malam ini. Masih sayangkan kaki dan pinggang sendiri.
“Good girl.”
Jari telunjuk dia mendarat di hidung mancungku sebelum digantikan dengan bibirnya. Kemudian bibirku pula yang menjadi mangsa.
Aku tidak menolak. Malah membalas kucupan dia tanpa silu. Menikmati kemanisan berumah tangga. Menghangatkan malam-malam yang akan berlalu. Menjadi memori yang akan dikenang di kala usia semakin senja.
OH, MY BACK!!!
Aku hampir menjerit nyaring kala melangkah turun dari katil. Mata menjeling tajam pada sang suami yang menjadi punca. Terlalu ‘mengganas’ hinggakan aku yang terpaksa menanggung ‘seksanya.’
Dia sudah siap membersihkan diri. Berdiri di pintu bilik air dengan hanya tuala putih di pinggang.
Titisan air di hujung rambut menghasilkan imej yang sangat menguja jiwa. Mampu membuat hati seorang isteri lari ritmanya. Malah buat aku pula yang terasa ingin menyerang.
Ish, miang!
Kurenung seraut wajah kacak dia sebelum melorot turun ke tubuh berotot yang membuat liur terasa kecur tiba-tiba. Tubuh yang sentiasa mampu menggoda nafsu seorang isteri.
Namun kala memikirkan ‘serangan’ yang terpaksa kuhadap semalam, rasa miang menghilang begitu sahaja. Aku tidak mahu bermain dengan api. Yang terbakar tentunya diri sendiri.
Aku masih ingin berjalan secara normal. Masih sayangkan pinggang yang ingin digunakan bertahun-tahun lamanya. Lalu nafsu yang terusik kutenangkan kembali.
Tangan pantas mencapai tuala. Membiarkan baju tidur merah di tubuh melorot ke lantai sebelum membalut tubuh dengan tuala putih. Bersedia ke bilik air.
Subuh masih panjang. Aku perlu bergegas membersihkan diri untuk sujud di sejadah. Menjalankan kewajipan seorang hamba.
“Nak mandi?” soal dia lembut.
“Erm. Nak mandi,” balasku mengisyaratkan dia agar memberi laluan untukku masuk ke bilik air.
Aku tahu dia tentunya telah berwuduk. Bersedia untuk menunaikan solat subuh. Disebabkan itu aku tidak berniat untuk bersentuhan dengan dia.
“Nak abang temankan?” soal dia nakal.
“Nak batalkan wuduk ke?” Aku menjongket kening.
“Abang tak kisah ambil wuduk sekali lagi,” balas Yussuf. Bersahaja nadanya.
Ish, dia ni!
Kalau dia yang temankan, bukan sahaja wuduk yang perlu diambil sekali lagi. Mandi pun perlu diulang sekali lagi.
“Tak perlu. Timi boleh mandi sendiri,” balasku pantas menolak. Kalau dilayan tawaran dia, aku pasti matahari sudah menunjukkan wajah baru dapat keluar dari bilik air. No way!
“Jangan mandi lama-lama,” pesan dia.
“Nak imamkan Timi ke?”
Dia mengangguk sekilas sebelum melangkah menjauh dari pintu bilik air. Memberiku ruang untuk melepasi dia.
“Okey. Wait for me.”
Aku tidak menolak. Subuh baru sahaja menjelma. Masih panjang waktunya. Sempat untuk dia menungguku siap mandi.
Pantang diberi peluang dia pasti ingin menjadi imamku. Sujud dan rukuk bersama di hadapan Sang Pencipta.
Saat dia mengungkap doa, aku pasti akan mengaminkannya. Mengharap doa yang dititipkan sentiasa dimakbulkan Tuhan.
Dingin air yang menyiram tubuh terasa cukup menyegarkan. Menghilangkan kantuk yang masih bersisa.
Aku membersihkan diri sepantas mungkin. Membalut tubuh dengan tuala putih. Terus melangkah keluar dari bilik air.
Mata mendarat pada dia yang sudah berdiri di atas sejadah. Siap berbaju melayu hitam, berkain pelekat. Segak!
Senyuman berbunga di bibir. Melihat dia berbaju melayu buat nafsuku sedikit terusik. Ya, dia cukup menggoda di mata ketika ini. Lebih menggoda dari melihat dia tanpa seurat benang. Yummy!
Aku sememangnya suka melihat lelaki berbaju melayu. Punya aura maskulin yang sukar untuk kutafsirkan.
Dan pertama kali aku bertentang mata dengan dia ketika dia berbaju melayu biru. Menjadi pengapit di majlis perkahwinan sepupu dia yang sekampung denganku.
Saat dan ketika itu jantung dan hatiku terus jatuh tergolek di kaki dia. Mengharap dia sudi memungutnya.
Siapa sangka dia juga sepertiku. Terpana melihatku yang menyarungkan kebaya hitam di tubuh.
Lalu jantung dan hatiku tidak dibiarkan sepi. Dipungut dan dibelai dia hingga ke hari ini. Tidak pernah cuba menyakitiku. Sentiasa mencintai dan mengasihi.
Perjalanan cinta aku dan dia tidak berliku. Bukan kisah Romeo dan Juliet. Bukan juga kisah Laila dan Majnunnya.
Tiada siapa cuba menghalang hubungan di antara aku dan dia. Kedua-dua keluarga menerima dengan hati terbuka. Lalu mampu meniti bahagia hingga ke hari ini.
“Sayang.”
Suara garau yang memanggil lembut buat fikiran yang melayang ke planet Pluto kembali ke dunia yang nyata.
“Subuh, sayang.” Dia mengingatkan.
Aku tersengih menayang gigi. Pantas menyarung telekung di tubuh sebelum melangkah ke sejadah. Bersedia menjadi makmum dia untuk selamanya.
RASA kecewa hebat membadai hati ketika ini. Melihat tompokan darah yang mencemar seluar dalam yang kupakai buat bibir tersenyum kelat. Gagal sekali lagi.
Percutian selama seminggu tidak mendatangkan sebarang hasil. Malah selama lebih 5 tahun rahimku langsung tidak berkutik. Langsung tidak terisi. Kosong-sekosongnya.
Mata terasa panas tiba-tiba. Tanpa sedar juraian air sudah mencemar wajah. Rasa hiba yang mengasak tidak dapat kukawal. Terlalu kecewa sebenarnya.
3 tahun pertama perkahwinan aku dan dia, soal anak tidak menjadi isu buatku. Perkahwinan yang berlaku di usia yang terlalu muda buatku mengambil remeh tentang kehadiran si kecil.
Usiaku ketika itu cuma 22 tahun. Belum pun menamatkan ijazah yang diambil. Lalu soal anak tentu sahaja tidak timbul.
Bila bertahun berlalu tanpa kehadiran si kecil, mustahil hati tidak dibadai resah. Apatah lagi bila ada mulut-mulut yang berbunyi sumbang membuat telinga terasa panas berdesing.
Periodku sentiasa teratur. Tidak pernah terlewat walau sehari. Sentiasa setia dengan jadualnya. Sentiasa memusnahkan harapan yang bertiup di dada.
Tidak tahu di mana silapnya. Kenapa hingga sekarang aku dan dia masih belum dikurniakan zuriat?
Tubuhku masih langsing seperti dulu. Usiaku juga masih muda. Belum pun mencecah ke angka 30an. Kalau dilihat dengan mata kasar semuanya kelihatan cukup normal.
Soal kesihatan sepatutnya tidak menjadi isu. Apatah lagi suamiku. Dia yang kelihatan sempurna di mata mustahil punya masalah kesihatan yang menyebabkan aku dan dia gagal mempunyai zuriat.
Tubuh berotot dia sentiasa bertenaga. Tidak langsung kelihatan letih ketika melakukan aktiviti di malam hari. Malah stamina dia membuatku sentiasa terpaksa merayu untuk dilepaskan.
Lalu di mana silapnya?
Belum rezeki mungkin?
Jawapan itu buat bibir bergetar hiba. Jawapan yang membuatku sukar untuk menaruh harapan. Harapan yang sentiasa berakhir dengan kekecewaan.
Kutarik nafas dalam-dalam. Kuhembus perlahan. Air mata kuseka hingga tidak bersisa. Senyuman kupasak di bibir. Cuba menceriakan wajah menanti dia pulang.
Aku tidak mahu memeningkan kepala dia tentang isu yang satu ini. Dia juga tidak pernah menekanku dengan soal anak. Seolah anak tidak penting di matanya. Hanya seorang isteri yang diperlukan dia.
Sungguh aku terharu. Bersyukur yang dia bukan lelaki yang senang meletakkan kesalahan itu di bahu seorang isteri. Bukan lelaki yang sanggup memilih perempuan lain demi mendapatkan zuriat.
Aku melangkah ke bilik air. Membersihkan apa yang patut dibersihkan.
Deruman enjin yang memasuki laman buat kaki melangkah pantas menuruni tangga. Menyambut kepulangan Yussuf.
Pintu kubuka. Mengalukan kepulangan suami tersayang. Seperti biasa tangan Yussuf kucapai. Kukucup penuh kasih dan hormat. Rutin yang tidak pernah gagal kulakukan selama menjadi isteri dia.
“Kenapa ni?”
Daguku dipaut dia. Memaksaku bertentang mata. Sepasang mata hitam dia merenungku tajam.
Kuketap bibir sesaat. Tidak dapat menutup kesan merah di mata dek melayan tangisan yang tidak dapat dikawal.
“Period,” balasku jujur.
Dia tersenyum nipis. Memahami maksud bicaraku. Dia tahu benar apa yang kuharapkan.
“Sepatutnya abang yang menangis,” tutur dia separuh bersenda.
Bertaut dahiku keliru dengan bicara dia. Kenapa pula dia yang sepatutnya menangis?
“Sebab abang terpaksa berpuasa malam ni.”
“Abang!”
Aku menjerit geram. Ke situ pula dia berfikir. Macam tidak puas-puas. Humph!
“Abang tak suka tengok isteri abang menangis macam ni. Tak cantik.”
“Betul tak cantik?” soalku sengaja menduga.
“Tak cantik bila abang terpaksa berpuasa,” balas dia bersahaja.
“Gatal!” selarku geram.
Tidak betah melayan suami miang, aku membuka langkah untuk kembali ke bilik. Malang sekali tangan kekar yang tiba-tiba melingkar di pinggang menghentikan langkahku.
“Abang cuma gatal dengan isteri abang. Salah ke?” soal Yussuf berbisik lembut di telingaku. Sengaja membiarkan desah nafasnya menghembus cuping telinga dan leherku. Mengusik naluri seorang isteri.
Dia tahu benar di mana kelemahanku. Sengaja menggoda sedangkan tahu terpaksa berpuasa. Urgh!
“Kalau abang terpaksa berpuasa… jangan ingat Timi boleh terlepas sama, sayang. We will suffer together,” tokok dia seraya membenamkan bibir di leher jinjang yang terdedah. Sengaja menjentik nafsu yang tidak dapat dilunaskan.
Mahu sahaja kuhamun dia yang sengaja mendera. Geram betul.
“Fine. We will suffer together,” balasku. Tidak gentar untuk ‘menderita’ bersama.
Melebar senyuman dia mendengar balasan itu. Suka bila aku sentiasa ‘mengalah’ di tangannya. Sanggup merasa susah senang bersama.
“I love you, darling,” bisik Yussuf lembut. Bisikan yang tidak pernah membuatku terasa jemu untuk mendengarnya. Malah ingin sentiasa mendengar bisikan yang sama. Menjadi satu mantera hidup.
“I love you too. My Yussuf,” balasku tanpa ragu. Tidak cuba menutup rasa yang satu itu.
“KELAT muka tu,” tegur Aima tersenyum sumbing. Mata dipicingkan memandang ke arahku. Nampak benar ingin mengorek cerita.
“Period aku datang lagi,” jelasku tidak berselindung di hadapan teman sekerja yang begitu subur jika mahu dibandingkanku.
Aima cuma tua setahun daripadaku. Sudah punya 2 orang anak. Dan seorang lagi semakin membesar di dalam rahimnya. 4 bulan lagi akan muncul menjenguk dunia.
Aku pula nampak bayang pun belum. Bagaimana sekeping hati ini tidak dibadai kecewa?
“Pergilah check. Jumpa doktor. Boleh tahu siapa sebenarnya yang bermasalah,” usul Aima serius nadanya.
Ini bukan pertama kali dia menyatakan usul yang sama. Sudah beberapa kali. Cuma aku yang belum mengambil tindakan itu.
Bukan tidak pernah terlintas di kepala untuk bertemu doktor. Entah kenapa ada rasa takut menjentik hati. Buatku tidak berani membuat pemeriksaan. Bimbang jawapan yang diterima akan menghancurkan segala harapan.
“Kalau kau tak check, macam mana kau nak tahu siapa yang bermasalah,” sogok dia serius.
Aku tersenyum tawar. Berat untuk berbicara ketika ini.
“Mungkin bukan kau. Tapi suami kau.”
Yussuf bermasalah?
Terasa lucu tuduhan itu. Sukar untuk menerima lelaki tinggi lampai bertubuh sasa itu punya masalah untuk mendapatkan zuriat.
Kalau benar punya masalah, tentunya berpunca daripadaku. Bukan Yussuf.
Diam-diam aku sentiasa mencari maklumat dan sebab penyebab kemandulan. Aku tahu kebanyakannya berpunca dari masalah perempuan. Bukan lelaki.
Aku tidak dapat membayangkan lelaki sempurna seperti Yussuf punya masalah kesuburan.
Ya, di mataku Yussuf punya pakej yang cukup sempurna. Kalau tidak bagaimana aku boleh jatuh cinta pandang pertama.
Dia mungkin datang dari keluarga biasa-biasa. Bukan keluarga yang berharta. Namun paras dan tubuh tinggi lampai dia sudah cukup untuk melayakkannya menjadi seorang model.
Bukan aku seorang yang tertawan. Ramai lagi gadis lain yang turut terpukau dengan Yussuf.
Aku bertuah kerana menjadi pilihan Yussuf. Jika tidak, pasti aku akan menjadi seperti gadis-gadis lain yang terpaksa bertepuk sebelah tangan. Hanya mampu melihat tanpa dapat menyentuh.
Memikirkan hakikat itu buat bibir tanpa sedar merekah dengan senyuman. Terasa diri begitu beruntung menjadi permaisuri hati lelaki tinggi lampai itu.
“Senyum pulak dia,” tegur Aima mengherotkan bibir. Tidak faham erti senyuman yang muncul di bibir si teman.
“Senyum pun salah?” betahku.
“Bila nak pergi check?”
“Kau nak temankan aku ke?”
“Kenapa tak pergi dengan suami kau?”
Aku terdiam seketika mendengar soalan itu. Entah kenapa aku tidak mahu Yussuf menemaniku ke hospital. Tidak mahu dia tahu tentang keputusan yang mungkin menyakitkan sebelum aku bersedia membuka cerita.
Biarlah aku sahaja yang tahu tentang masalah yang melanda sebelum memberitahu dia. Aku perlukan masa untuk menyediakan diri andai benar aku yang menjadi punca kami tidak mempunyai zuriat.
“Kau takut?” telah Aima. Keluhan berat terletus di bibir dia.
“Apa yang kau nak takutkan?”
Aku tersenyum tawar. Mudah untuk dia berbicara. Bukan dia yang berada di tempatku.
“Kalau betul pun kau yang bermasalah, banyak cara untuk selesaikan masalah kau. Perubatan sekarang dah makin canggih. Macam-macam cara boleh guna untuk kau dapat baby,” tekan Aima cuba mengetuk fikiranku.
“Aku tahu,” balasku senada.
Tahu tidak bermakna bersedia untuk berhadapan dengan kebenaran. Tiada siapa suka mendengar diri sebenarnya punya masalah besar.
“Kau temankan aku, Ma. Aku tak nak Yussuf tahu. Sekurang-kurangnya sampai aku tahu apa masalah sebenar aku,” pintaku memujuk Aima.
“Fine!” balas Aima bersetuju biarpun tidak menyokong tindakanku. Bagi Aima suami isteri perlu sentiasa menyokong di antara satu sama lain tidak kira dalam apa juga keadaan sekalipun.
“Thank you,” ucapku dengan senyuman manis dipasak di bibir.
Kutarik nafas dalam-dalam. Meniup keberanian ke dalam diri.
Aku tahu aku tidak boleh terus melengahkan soal ini. Usiaku sudah melebihi 26 tahun. Aku tidak mahu membazirkan usia muda hanya kerana takut berdepan dengan kebenaran.
Sesekali aku cuba menelan produk yang dikatakan mampu membantu untuk mengandung. Pernah juga bertemu tukang urut yang pandai dalam hal seperti ini. Malang sekali tidak berhasil hingga ke hari ini.
Kali ini aku nekad untuk bertemu doktor. Mendapatkan jawapan yang pasti.
BAYI di dalam dukungan Kak Suriati kupandang lama. Comel benar. Mahu sahaja kuculik untuk dibawa pulang.
“Geram. Pipi tu gebu sangat,” komenku mencuit pipi gebu si kecil yang baru seminggu usianya. Naluri keibuan terasa menggebu ketika ini.
Hari ini aku mengambil masa untuk datang menjenguk sepupuku yang baru melahirkan anak pertama setelah setahun mendirikan rumah tangga.
Ya, begitu pantas sepupuku dikurniakan cahaya mata biarpun lambat menamatkan zaman anak dara. Aku yang bertahun-tahun mencuba nasib masih belum mendapat berita gembira.
Hati berdetak sayu memikirkan kemungkinan yang aku mungkin tidak akan punya rezeki untuk memiliki zuriat sendiri. Kalau benar, apa yang perlu kulakukan?
“Montel. Macam mana tak geram,” sela Mak Ngah Rozi tersenyum lebar. Bangga melihat cucu yang dilahirkan si anak begitu comel.
Si anak sulung begitu sukar untuk bertemu jodoh. Ketika usia hampir menjejak angka 30an baru ada yang benar-benar sudi menyunting sebagai isteri.
Itu pun cuma lelaki yang datang dari keluarga biasa-biasa. Bekerja pun biasa-biasa sahaja. Tidak berjawatan besar. Tidak punya syarikat sendiri seperti suami si anak saudara.
Nasib si anak saudara begitu baik. Memiliki suami yang punya pakej lengkap. Anaknya pula begitu sukar untuk bergelar seorang isteri.
Apa kurang anaknya jika dibandingkan dengan si anak saudara? Tiada apa yang kurang!
Siapa sangka hingga ke hari ini si anak saudara masih belum mampu melahirkan zuriat. Sedangkan anak sulungnya begitu pantas mendapat cahaya mata.
Dunia ini rupanya masih punya keadilan. Mungkin si anak saudara memiliki suami yang boleh dikatakan hebat. Malang sekali diri sendiri tidak dapat memberikan zuriat buat seorang suami.
Tidak lama lagi pasti si suami akan mula mengeluh. Mungkin akan mencari isteri baru yang mampu melahirkan anak. Tidak guna menyimpan isteri yang mandul!
“Comel. Rasa nak culik aje si kecik ni,” tuturku bersenda. Sekali lagi mencuit pipi montel si kecil. Rasa mahu digomol geram.
“Kenapa nak culik kalau boleh lahirkan sendiri? Anak Timi dengan Yussuf mesti lagi comel daripada anak Kak Su nanti,” betah Kak Suriati tersenyum penuh makna.
Mendengar bicara Kak Suriati buat hati bagai dihenyak batu besar. Berat. Dada terasa sesak sesaat.
“Betul cakap Kak Su kamu tu, Timi. Cepat-cepat berusaha dapat baby tu. Takkan kamu nak tunggu sampai Yussuf tu mencari yang baru,” sampuk Mak Ngah Rozi langsung tidak bertapis.
“Mak… ada pulak cakap macam tu,” tegur Kak Suriati kurang senang.
“Betul la apa mak cakap. Tengok Kak Su kamu ni. Setahun aje kahwin dah dapat peluk baby. Bunting pelamin orang kata. Tak perlu tunggu bertahun-tahun macam kamu ni. Tunggu punya tunggu. Sampai sekarang masih berdua lagi dengan Yussuf,” tingkah Mak Ngah Rozi dengan nada prihatin. Namun setiap kata mampu mencalar sekeping hati.
“Mak… kecik hati Timi mak cakap macam tu,” betah Kak Suriati mengerutkan kening. Tidak bersetuju dengan bicara si ibu. Pun begitu sepasang mata hitam yang bersinar bangga tidak dapat disembunyikan dari pandangan mataku. Menjentik rasa sayu di hati.
Aku hanya mampu tersenyum tawar. Setiap manusia pasti akan dijentik rasa cemburu dan iri hati bila tidak memiliki sesuatu yang diinginkan.
Aku tahu Kak Suriati menyimpan rasa itu bila saudara-mara kami sentiasa membandingkan aku dan dia ketika masih tidak dapat menamatkan zaman anak dara.
Mulut orang bukan mudah untuk ditutup. Lantang berkata-kata. Tidak memikirkan orang yang terasa pedasnya.
Dan kini tiba masa untuk mereka membalas padaku biarpun bukan aku yang berbicara begitu.
Aku sama sekali tidak akan menyalahkan mereka. Mereka cuma manusia biasa. Mudah melakukan kesilapan. Bukan bermakna mereka manusia yang tidak baik.
“Belum rezeki Timi, mak ngah,” tuturku senada.
Walau hati terasa bagai dipalu pedih ketika ini, aku tetap cuba memasak senyuman di bibir. Tidak mahu kelihatan lemah di mata mereka.
Untuk apa menunjukkan kelemahan bila tiada simpati yang tersimpan di hati mereka? Lebih baik menutup sakit di hati sendiri.
“Rezeki memang Tuhan yang tentukan. Tapi Timi kena berusaha jugak. Jangan tunggu buah tak gugur. Sampai bila pun takkan ada rezeki,” tingkah Mak Ngah Rozi memberi nasihat.
“Timi tahu. Timi tengah usahakan jugak sebenarnya,” ujarku jujur.
“Eloklah tu. Kesian kat suami kamu tu. Mana ada lelaki tak nak zuriat sendiri. Jangan sampai dia cari perempuan lain baru kamu nak menyesal, Timi. Waktu tu kamu menangis air mata darah pun dah tak berguna!”
Aku cuma mampu mengangguk mengiakan sahaja bicara wanita yang berpuluh tahun lebih tua daripadaku itu. Tiada guna berbetah bila wanita veteran itu hanya ingin menegakkan benang yang basah. Macamlah soal zuriat itu aku yang tentukan!
“Mak ngah, Kak Su… Timi balik dulu,” ucapku ingin mengundur diri.
Untuk apa terus menghabiskan waktu bersama manusia yang hanya tahu mencalar hati. Lebih baik pulang ke rumah sendiri. Menanti kepulangan suami.
Yussuf tidak dapat menemaniku datang melawat Kak Suriati. Kesibukan yang terlampau buat Yussuf terpaksa masuk ke syarikat di hujung minggu. Meninggalkan aku sendirian di banglo kecil kami.
Disebabkan itu aku mengambil masa melawat Kak Suriati di Gombak. Ingin melihat si kecil yang baru menjenguk dunia.
Hati berniat baik. Namun kata-kata yang menyapa gegendang telinga mampu membuat sekeping hati dingin membeku.
“Dah nak balik?”
“Timi nak ke syarikat Yussuf,” tuturku memberi alasan.
“Sibuk sangat dia sekarang,” komen Kak Suriati. Ada nada cemburu bersulam di situ. Mungkin cemburu kerana aku memiliki suami yang sanggup berusaha keras demi masa depan yang lebih terjamin.
“Dia baru tambah anak syarikat. Sebab tu sekarang agak sibuk,” terangku.
“Untung betul kamu. Dapat suami berbakat dalam bisnes macam Yussuf. Senang hidup kamu,” tukas Mak Ngah Rozi.
Aku mengangguk kecil. Ya, aku sememangnya beruntung. Tidak dapat dinafikan hakikat itu.
Walaupun aku tidak kisah hidup bersederhana, aku tidak juga menolak kehidupan yang lebih mewah.
Aku bangga mendapat suami yang sanggup berusaha lebih dari lelaki lain. Punya matlamat yang cukup tinggi. Sentiasa ingin melangkah lebih setapak dari manusia lain.
“Jangan Timi aje yang beruntung. Tapi Yussuf pula bernasib malang,” tingkah Kak Suriati tersenyum penuh makna. Makna yang cukup kufahami maksudnya.
Aku dikatakan beruntung memiliki Yussuf yang punya pakej lengkap. Yussuf pula dianggap malang beristerikan perempuan yang masih tidak mampu memberikan zuriat.
“Timi balik dulu.”
Aku bingkas bangun. Tidak betah terus membiarkan diri menelan setiap kata yang memedihkan telinga untuk didengar.
Tangan Mak Ngah Rozi kucapai dan kucium hormat. Kak Suriati juga tidak dilupakan sebelum kaki pantas melangkah pergi. Menghilang dari pandangan si ibu dan anak yang ternyata punya rasa tidak puas hati terhadapku.
BELUM sempat enjin kereta dihidupkan untuk meninggalkan kawasan flat yang dihuni Mak Ngah Rozi, telefon bimbit di dalam tas tanganku berbunyi nyaring. Pantas kucapai lalu menekan butang hijau sebaik melihat nama yang tertera di skrin.
“Kak Timi!” Jeritan ceria di hujung talian hampir membingitkan telinga. Buatku menjauhkan telefon bimbit agar tidak mendera gegendang telingaku.
“Shima… telinga Kak Timi belum pekak lagi,” tingkahku geram. Dibalas dengan hilai tawa si adik bongsu yang sentiasa ceria orangnya.
Happy go lucky. Itu karakter yang dimiliki Hashima. Sentiasa tersenyum dan tertawa. Jarang benar untuk melihat Hashima menangis.
Dilahirkan sebagai anak bongsu punya kelebihan tersendiri. Sentiasa dimanjakan. Sentiasa mendapat apa yang dihajati. Bagaimana mungkin akan menangis bila segala keinginan ditunaikan.
“Kenapa call?” soalku senada.
Bertemu Mak Ngah Rozi dan Kak Suriati buat moodku ke laut dalam. Tidak berminat untuk berbicara dengan si adik ketika ini.
“Ada berita baik nak bagitahu Kak Timi,” tutur Hashima dengan nada penuh misteri.
Aku tertawa kecil. Si adik bongsu walaupun sudah berkahwin masih kurang matang seperti dulu. Childish!
“Berita baik, huh? Berita apa?”
“Tekalah.”
Bertaut keningku dengan permainan si adik. Aku pula disuruh meneka berita yang tidak tahu datang dari mana puncanya.
“Berita apa?” Nada tegas kugunakan. Tidak kuasa menyemakkan kepala meneka sesuatu yang aku tidak tahu.
“Shima mengandung!” Sekali lagi suara di hujung talian menjerit ceria. Seronok benar berkongsi berita.
“Shima mengandung?” soalku hampir tidak kedengaran.
Entah kenapa berita yang sepatutnya disambut dengan gembira tidak dapat menggembirakan hatiku. Sebaliknya bagai dipalu rasa sayu.
“Baru check tadi. Doktor kata dah lebih sebulan,” terang Hashima.
“Tahniah,” ucapku cuba menceriakan nada. Tidak mahu si adik menangkap rasa yang bergolak ketika ini.
Ibu bapaku pasti gembira menerima berita tentang cucu sulung yang bakal muncul memeriahkan keluarga. Aku tahu kedua-duanya tidak sabar ingin menimang cucu. Kecewa bila aku masih tidak mampu mengkhabarkan berita gembira pada mereka.
Aku cuma punya seorang abang dan adik. Kami 3 beradik. Tidak ramai. Abangku yang tua 2 tahun daripadaku belum berkahwin. Baru sahaja bertemu gadis yang ingin dijadikan isteri. Tahun hadapan akan melangsungkan perkahwinan.
Hashima pula baru setahun mendirikan rumah tangga. Dan kini telah disahkan mengandung. Berita yang ditunggu-tunggu ibu bapaku.
Satu per satu insan yang dekat denganku memiliki zuriat sendiri. Aku pula masih begini. Masih sepi tanpa si kecil di sisi.
Bibir bergetar tanpa kata. Hiba terasa menyesakkan dada. Pun begitu cuba kutelan. Memasak senyuman plastik di bibir. Itu lebih baik dari membiarkan air mata mencemar wajah.
“Mak suka sangat bila Shima call tadi.”
“Mak dah lama tunggu nak timang cucu,” balasku senada.
“Kak Timi… rezeki Kak Timi mesti datang jugak nanti,” ucap Hashima cuba menyedapkan hatiku.
Aku tertawa kecil. Entah apa yang lucu. Atau cuba menutup kesakitan di hati.
“Kak Timi nak drive ni.”
“Okey. Bawa kereta elok-elok.”
“Okey.”
Aku pantas mematikan talian. Menarik nafas dalam-dalam sebelum menghidupkan enjin BMW putih hadiah hari lahir dari Yussuf. Pedal minyak ditekan laju. Membelah angin petang.

