MunaMahira-HanyaPadamuHannissa

Hanya Padamu Hannissa

Bardrizal si pencinta wanita. Baginya wanita untuk digoda dan dijadikan koleksi. 

Hannissa Amsyar si workaholic yang mengejar kerjaya. Lelaki pemalas tidak mungkin mendapat tempat di hatinya. 

Si gadis tidak sudi memandang. Si jejaka dengan ego yang dijunjung tinggi. Tidak akan sekali-kali mengalah. Lalu siapakah yang bakal menang? Atau masing-masing kalah, hanyut terbuai dalam cinta yang tak berpenghujung?

Penulis: Muna Mahira
Terbitan: Permata Hiraz

SETITIS air mata jatuh di pipi chubby si kecil. Tidak dapat menahan rasa sakit di tubuh bila dihukum tiba-tiba. Pergaduhan yang berlaku di antara adik dan abang berakhir dengan tubuh si adik dibalun tanpa belas oleh emak mereka. 

Kenapa hanya dia yang dihukum sedangkan si abang yang lebih dulu mencari pasal? 

Si kecil yang belum cukup matang mula mempersoalkan dunia. Terasa tiada keadilan di dalam hukuman yang diterima. 

“Nissa tak salah,” omelnya menahan esakan yang hampir bergema. Bibir mungil si kecil tercebik, bergetar hiba. 

“Tak salah kau cakap?” tengking si ibu membingitkan telinga yang mendengar.

Si kecil menunduk takut. Tidak berani lagi bersuara. 8 tahun hidup berpijak di bumi ini, belum pernah lagi si ibu berpihak padanya. Hanya dia yang setia menjadi mangsa. Mengalah dalam setiap perkara. 

Pun begitu, hati si kecil masih ingin memprotes. Ingin si ibu berpihak padanya. Melayannya sama seperti si abang dan adik. Salahkah? 

“Aku tanya ni. Kau salah ke tak salah?!” tempik si ibu sekali lagi membalun tubuh si kecil. Mata memandang benci pada paras si kecil yang menyakitkan matanya. 

Tubuh si kecil menggigil menahan sakit. Kepala terangguk-angguk mengakui salah yang dipasakkan seorang ibu ke atasnya. Tidak berdaya untuk memprotes. Bimbang tubuh sendiri yang merana. 

Bagai tidak cukup dengan reaksi yang diterima, telinga si kecil dipiat kasar. Dan bicara yang keluar dari bibir si ibu mencarik hati seorang anak.

“Kau dengar sini. Kau salah ke tak salah… anak aku tetap tetap tak salah. Faham?!” 

Titis air mata yang cuba ditahan akhirnya laju membasahi pipi si kecil. Mencemar wajah yang kecewa dengan layanan seorang ibu. 

Si ibu melangkah pergi meninggalkan si kecil teresak sendiri. Tidak kuasa mendengar tangisan yang menjelakkan baginya. Atau lebih tepat tidak sudi pun memandang si kecil yang menyakitkan mata. 

Lagi jauh jarak tercipta lagi bagus. Tidaklah matanya terus terdera. Berani betul membuli anak kesayangannya!

Si kecil yang ditinggalkan membenam wajah di lutut. Melayan hati yang lara. Rasa sepi menyelinap ke segenap ruang hati. Biar punya keluarga, dirinya bagai dipinggirkan. 

Kenapa? Kenapa? Dan kenapa?!

Soalan itu memenuhi segenap ruang fikiran. Mempersoalkan segalanya. Malangnya tiada jawapan yang tiba. Tiada siapa datang menjelaskan apa-apa. Tiada!

DINGIN malam menggamit kesayuan di hatinya. Semuanya telah lama dipendam. Tidak ingin diceritakan kepedihan hati kepada sesiapa. Lagipun siapalah yang sudi mendengarnya? Takut nanti membebankan mereka yang mendengar kisah hidupnya yang mungkin membosankan. Atau adakah kerana dia yang terlalu ego untuk menunjukkan diri sendiri sebenarnya hanya insan yang lemah?

Hans tersenyum sumbing. Cuba menutup kepedihan hati. Tidak ingin kalah diamuk emosi. Dia gadis yang kental. Keras hati. Itu yang paling tepat. Tak mudah mengalah pada permainan perasaan. 

Tidak pernah sekalipun dilihat orang dia menangis. Air mata itu sendiri itu seakan-akan gersang dilanda kemarau. Air mata umpama kriptonit yang mampu melemahkan diri. Itu prinsipnya. Dan dia bukannya seorang yang lemah. Tidak akan sesekali menjadi lemah. Tega menghadapi segala rintangan biar betapa payah pun.

Dia selalu berteleku di bangku kayu yang terletak di belakang Kolej Melati itu. Disinilah segala kekusutan perasaan dilepaskan. Berbicara dengan angin malam. Mengharap bayu lembut itu membawa pergi segala masalah yang terbuku di dada. 

‘Cantiknya malam. Indahnya bintang. Alangkah bertuahnya aku andai bisa menjadi bintang yang menyerikan malam. Namun aku hanyalah insan yang tidak memberi erti pada sesiapa.’ Hans mengeluh sendiri.

Puas melayan perasaan dia bingkas bangun. Lalu membalut tubuh yang semakin dicengkam kedinginan malam dengan sweater birunya.  

Itulah rutin harian bila diri diamuk resah. Malam yang sunyi menjadi tempat mengadu. Tempat untuk meneliti kisah hidup. Hans melangkah longlai menuju ke bilik yang dikongsi bersama tiga lagi teman sekelasnya.

WAWA yang sedari tadi asyik meneliti nota terhenti sejenak kala pintu bilik dikuak dari luar. Mata tertarik pada wajah teman sebilik yang kelihatan mendung.

Kenapa? Apa pula yang membuatkan temannya itu berduka? Jarang hendak melihat wajah Hans begitu. Selalunya hanya muka ‘seposen’ sahaja yang ditayangkan. Ibarat topeng pula.

Hans yang terasa diri diperhatikan segera menoleh ke arah Wawa. Terus wajah berubah ceria. Tidak mahu Wawa bertanya soalan yang bukan-bukan. Bukan dia tidak kenal Wawa. Gadis yang bermulut becok. Ada sahaja soalan yang akan diajukan nanti.

“Kenapa dengan kau ni? Monyok semacam aku tengok,” soal Wawa. 

“Hah, mana ada. Mata kau dah rabun ni,” bidas Hans tersengih-sengih menutup duka di hati.

“Iyalah tu. Tak payah nak tipu. Tadi waktu kau masuk aje muka dah macam orang mati anak,” tukas Wawa tidak puas hati. 

Temannya yang seorang ini sering berahsia. Jarang hendak membuka cerita. Selalu berlagak ceria. Namun apa yang ditunjukkan pada luaran tidak semestinya menzahirkan apa yang tersirat di dasar hati. 

Memang Hans terkenal dengan sikap selamba dan ‘happy go lucky’. Tidak bermakna gadis itu langsung tidak punya masalah hidup. Mungkin Hans yang terlalu bijak menyembunyikan segalanya.  

“Serius ni. Aku biasa aje. Kau ni mengarutlah. Weh, assignment Datin Maziah kau dah siapkan ke?” Hans mula mengubah topik.

“Aku baru siapkan separuh. Lagi separuh aku nak tanya kaulah. Kau kan master ji aku. Tanpa kau macam manalah aku nak siapkan assignment Datin. Pening kot,” balas Wawa sambil tersengih-sengih.

“Aku pun baru separuh jalan. Ni baru nak sambung balik.” 

Hans mencapai kertas soalan di atas meja yang ditinggalkan separuh jalan dek gangguan telefon dari kampung. Dia masih lagi cuba menenangkan hati yang dibuai pilu. Dia tidak akan menangis. Tidak di hadapan Wawa atau sesiapapun. Tidak juga di hadapan diri sendiri. Tepat sahaja 5 hari bulan, telefon bimbitnya akan berbunyi menunjukkan panggilan dari kampung…

“NISSA,” suara emak kedengaran di hujung talian. Tiada kemesraan di situ. Dingin. 

Hans tersenyum hambar. Hatinya sedikit terguris. Bukan dia tidak biasa. Mungkin hatinya masih mengharapkan kelembutan suara itu.

“Mak sihat?” 

Sudah lama dia tidak mendengar khabar daripada emak. Sudah cukup sebulan. Bukan dia tidak mahu menghubungi emaknya. Namun panggilannya langsung tidak berjawab. 

Tiada gunanya dia mencuba kerana itu hanyalah kerja yang sia-sia. Jadi, biarlah dia menunggu panggilan daripada emak sahaja. Cukup bulan emaknya sendiri yang akan menelefon.

“Sihat. Kamu tengah sibuk ke?” 

“Tengah buat assignment sikit. Ayah tengah buat apa? Semua sihat ke kat kampung?”

“Sihat. Mak nak tanya sikit ni,” ujar Puan Amina. 

Hans sudah dapat mengagak apa yang ingin ditanyakan si emak. Sayu yang bergayut di hati dicampak jauh ke lubuk yang paling dalam. Hati sentiasa mengharap agar emaknya akan bertanya soalan lain. Soalan berkenaan dirinya.

“Elaun kamu dah masuk ke? Mak nak pakai duit sikit,” ujar Puan Amina tanpa silu. Tepat jangkaannya. Harapan hanya tinggal harapan. Dia menghela nafas panjang. Menyabarkan diri.

“Dah masuk pagi tadi. Mak nak pakai duit untuk apa?” 

“Errr… along kamu ni nak guna duit sikit untuk projek kursus dia. Duit makan pun tak cukup,” terang Puan Amina mendatar. 

Hans tersenyum kelat. Siapa lagi yang akan menyusahkan emak  kalau bukan abangnya? Anak emas! Ditatang bagai minyak yang penuh.

Hatinya sakit. Dia tidak percaya Adam akan menggunakan duit yang diberi sebaiknya. Bukan dia tidak perasan akan barangan yang dipakai oleh Adam. Dari atas ke bawah semuanya berjenama. 

Bila ditanya, katanya hadiah daripada kekasih hati. Baik betul kekasih itu sampai sanggup menderma ribuan ringgit. Sesungguhnya dia tidak percaya. Setakat belajar di Politeknik Merlimau apalah sangat perbelanjaan yang diperlukan. Bukan tidak dapat pinjaman PTPTN. 

“Berapa banyak mak nak pakai?” Walaupun berat, dia tetap menurut. Memang dia terasa bodoh. Bodoh kerana hanya mengikut sahaja kata-kata emak. Kalaupun hati sakit, dia tidak sanggup menghampakan permintaan itu.

“Dua ratus lima puluh ringgit aje. Terus masukkan ke akaun Maybank along kamulah.” Suara Puan Amina kedengaran ceria bila si anak tidak menolak. 

Hans mengetap bibir. Asalkan Puan Amina berpuas hati, dia sanggup menurut. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukannya untuk menggembirakan hati Puan Amina.

Dua ratus lima puluh ringgit bukan amaun yang sedikit. Separuh daripada elaun MARA yang diperuntukkan untuknya. Seperti biasa dia terpaksa berjimat cermat dan mengikat perut untuk makan. Semuanya kerana punya abang yang tidak bertanggungjawab.

“Esok Nissa masukkan dalam akaun along,” Hans memberi jawapan yang ingin didengar Puan Amina. Dia dapat membayangkan wajah tua itu sedang tersenyum puas. 

“Kalau kamu dah masukkan nanti jangan lupa telefon abang kamu. Mak dah nak masuk tidur ni.” 

Belum sempat dia menyambung kata talian sudah diputuskan. Dia hanya mampu menghela nafas panjang dengan layanan emaknya itu. 

NOMBOR telefon Adam didail dengan berat hati. Hajat emak sudah ditunaikan. Kini, Adam perlu diberitahu. Takut pula dimarah emak kerana tidak memberitahu Adam. 

Hati jengkel dengan sikap abang nan seorang. Kalau bukan kerana emak, tidak ingin dia memberi sesen pun kepada abang yang tidak bertanggungjawab itu.

“Hello.” Suara Adam menyapa di hujung talian. Ceria benar suara itu. Bagai sudah tahu apa yang bakal disampaikan. 

“Along, aku dah masukkan duit dalam Maybank kau,” beritahu Hans kasar. Tidak kuasa untuk berlembut dengan abangnya. Mereka berdua tidak pernah sebulu. Pantang berjumpa. Bercekau sahaja kerjanya. Ada sahaja yang hendak digaduhkan.

“Macam nilah adik along. Baru along sayang,” ujar Adam selamba. Beginilah reaksi Adam bila mendapat duit. Benci benar dia dengan gelagat si abang.

“Huh, tak payahlah kau nak berlakon. Macam biasalah aku masukkan. Tak lebih tak kurang,” balasnya mendatar. 

“Okey, adikku sayang. Yang penting kau masukkan duit dalam akaun abang kau ni,” ujar Adam disulam tawa besar. Sangat menjengkelkan. 

“Tak kuasa aku nak melayan kau, long. Menyampah,” ujar Hans lalu dipicit butang merah mematikan talian. Bengang. 

Lagi lama dia bercakap, lagi sakit hati dibuatnya. Terletus keluhan di bibir mengenangkan nasib diri. Kenapa dia seperti dianaktirikan oleh emak dan ayah sendiri? 

Hendak dikata dia bukan anak kandung mereka, sudah terbukti pada sijil kelahiran. Dia sering tertanya-tanya sendiri. Hanya satu jawapan yang pasti. Dia tidak secantik abang dan adiknya. Namun tegakah seorang ibu yang mengandungkannya selama sembilan bulan, melahirkan dengan penuh keperitan, membencinya hanya kerana paras rupa?

Adam tidak dinafikan punya rupa paras yang memukau hati mana-mana gadis yang memandang. Wajah kacukan milik Adam sering menjadi umpan untuk memancing si gadis. Ditambah pula dengan susuk tubuh tinggi lampai dan sasa. Sekali pandang boleh jatuh cinta pandang pertama. Mulut manis Adam menjadi pelengkap segalanya. Semua orang boleh cair padanya.

Adam juga bijak menggunakan kelebihan itu untuk memastikan segala hasratnya tertunai. Siapa yang mampu membantah kata-kata Adam kalau bukan Hans? Hanya dia yang nampak segala keburukan Adam. Sayangnya, dia tidak mampu membuktikan apa-apa pada sesiapa pun. Lalu mulutnya terkunci rapat. 

Puan Amina pasti tidak akan percaya apa yang keluar dari mulut anak yang tidak disukai. Masakan Puan Amina akan mempercayai Hans lebih daripada anak kesayangannya.

Adik bongsunya, Hannedda juga dianugerahkan dengan rupa paras yang mampu membuat lelaki tergila-gilakannya. Ramai jejaka di kampung saling bergaduh demi merebut perhatian Hannedda. 

Hanya Hans yang dipandang sepi. Tenggelam dalam kecantikan Hannedda. Antara mereka tiga beradik, hanya Hans yang tidak mengikut kecantikan emak dan ayahnya.

Dia akur dengan ketentuan Ilahi. Dia mungkin tidak cantik tetapi dia dikurniakan dengan akal yang lebih cantik daripada kebanyakan orang. Nyata Tuhan itu adil. Mungkin dia memberikan kekurangan pada paras rupa namun ditutup pula kekurangan itu dengan kelebihan akal fikiran. Entah gen siapa yang dikutipnya. Mungkin mengikut jejak datuk dan nenek agaknya.

Adam tidak sepandainya. Sudahlah tidak bijak, pemalas pula. Sudah berusia dua puluh lima tahun, masih lagi terkial-kial untuk menghabiskan diploma di Politeknik Merlimau. 

Dek kerana keputusan SPM yang teruk, Adam tidak mendapat tempat di IPTA. Untuk ke IPTS pula keluarganya tidak mampu. Lalu dia hanya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Jangankan hendak keluar mencari kerja, menolong di rumah langsung tidak.

Setelah dibambu oleh pak lang, abang ayah mereka, barulah Adam menyambung pelajaran di peringkat diploma jurusan IT. Itupun setelah berkali-kali memohon. Kalau tidak hanya makan tidur di rumah. Bagaikan bos besar pula lagaknya. Dasar pemalas!

 

WAWA yang sedang mengenakan tudung di kepala mengerling ke arah Hans yang sedang sibuk melayan kartun Bleach di laptop. Yati dan Beton sudah lama menunggu di tingkat bawah untuk pergi makan di dataran Cendekiawan. 

“Kau tak lapar ke, Hans?” Soalan Wawa itu ibarat angin lalu. Langsung tidak menyapa pendengaran Hans yang sedang khusyuk menghayati kartun.

“Khusyuk ke pekak budak ni?” omel Wawa geram. 

“Kau kutuk aku ke?”

“Dengar pulak kalau orang kutuk. Kalau aku tanya baik-baik tak pulak kau dengar,” tempelak Wawa geram. 

Hans sudah tersengih-sengih. Kepala yang tidak gatal digaru-garu perlahan. Tidak pula dia perasan Wawa sedang bercakap dengannya.

“Kau cakap dengan aku ke? Aku ingat kau cakap dengan Yati ke Beton,” ujarnya mendatar. Mata sudah kembali tertancap pada skrin laptop. Dia langsung tidak perasan riak wajah Wawa yang sudah seperti mahu meletup saat itu.

“Cuba kau tengok baik-baik dalam bilik ni. Tengok betul-betul,” tekan Wawa. Wajah yang putih melepak itu sudah memerah geram. Geram dengan perangai selenga kawannya itu. Macam mana kawannya itu boleh menjadi pelajar terbaik pun dia tidak faham.

Mendengar kata-kata Wawa itu, Hans memandang sekitar bilik. 

“Dah puas kau tengok? Kau rasa siapa lagi yang ada dalam bilik ni selain kau dengan aku?” Baru Hans tersedar yang Yati dan Beton sudah tiada lagi di dalam bilik. Pelik. Bila masa pula mereka menghilangkan diri pun dia tidak sedar.

“Sejak bila diorang dah master ilmu ghaib ni? Aku tak sedar pun bila diorang hilang,” jujur Hans berkata. 

“Kau memang, kalau layankan kartun memang tak ingat dunia. Langsung tak sedar apa jadi. Agaknya kalau jadi gempa bumi pun kau tak sedar,” sindir Wawa.

“Syok sangat.”

“Macam budak-budak,” selar Wawa masih lagi terkial-kial membetulkan tudung di kepala. Setiap kali keluar sudah menjadi kebiasaannya dimarahi teman-teman kerana lambat siap. Semuanya kerana tudung tidak jadi.

“Kau ni betul tak lapar? Jomlah pergi makan kat Cende,” ajak Wawa masih tidak puas hati. 

“Kau pergilah. Aku tak lapar pun. Lagipun aku tengah diet sekarang ni. Dah rasa mengah bila naik tangga,” ujar Hans sekadar mencipta alasan. Padahal sedari tadi perut sudah berkeriuk meminta makanan. ‘Sabar ya anak-anak cacing. Kejap lagi kita makan biskut,’ bisiknya lirih.

Hans yang hanya memakai singlet biru muda dan berseluar pendek hitam menampakkan susuk tubuh yang ramping dipandang Wawa lama. Dari atas ke bawah diteliti habis.

 “Diet? Perlu ke? Lainlah aku ni yang gedempol.” Sungguh dia tidak faham akan gelagat manusia. Yang kurus nak berdiet, yang gemuk macam dirinya tidak pula terfikir semua itu.

“Alah, dah nak buat macam mana bukan aku yang lapar. Kau lapar, kau kenalah makan. Aku rasa Yati dengan Beton mesti dah menyumpah-nyumpah kau kat bawah. Dah lama diorang tunggu kau siap,” kata-kata Hans itu membuatkan Wawa mengambil handphonenya di atas katil. Dilihatnya sudah ada sepuluh panggilan tidak dijawab. 

“Alamak, mati aku kena bebel. Panjang bebel Yati nanti. Aku gerak dulu.” 

Hans hanya tersenyum melihat Wawa yang kalut menuruni tangga. Wawa…Wawa…

Dia menutup pintu yang tidak sempat ditutup oleh Wawa. Perut yang sedari tadi meronta meminta makanan perlu diisi segera. Ditarik laci meja di mana dia menyimpan semua stok biskut. Dia hanya menjamah nasi sehari sekali sahaja. Di sebelah malam hanya biskut menjadi menunya. 

Dia perlu berjimat tidak seperti orang lain. Elaun MARAnya sudah separuh diberikan kepada Adam. Kalau Adam tidak mengacau duit elaunnya, dia tidak perlu mengikat perut begini. Bibir hanya mampu tersenyum hambar sambil mengunyah biskut tiger mengenang nasib diri. Dugaan…

LANGKAHNYA semakin laju mengejar Rashid ketua program ‘Masih Ada Yang Sayang’. Program yang diatur untuk membantu dan beramah mesra dengan anak-anak yatim yang terpinggir dari masyarakat supaya anak-anak yatim ini tahu masih ada lagi insan yang prihatin terhadap mereka. “Shid… Shid,” panggil Hans lantang. Tercungap-cungap nafasnya dek bersaing dengan lelaki tinggi lampai itu. Panjang betul kakinya kalau hendak dibandingkan dengan Hans yang kecil molek itu.

Langkah Rashid terhenti tatkala mendengar namanya dipanggil. Dia menanti Hans mendekatinya. Dahinya berkerut memandang gadis itu. Kenapa Hans mengejarnya? Rasanya baru sekejap tadi mereka bermesyuarat. 

“Ada apa ni?” Nada suara jelas menunjukkan dia tidak menyenangi kehadiran Hans. Hans hanya tersenyum tawar. Kalau bukan kerana program ini tidak ingin dia mengejar Rashid yang terkenal dengan lagak sombong.

“Ada benda kau tertinggal tadi. Kau cakap kau yang nak uruskan sponsor. Tapi surat ni kau tak ambik,” ujar Hans dengan nada mendatar. Surat di tangan dihulurkan kepada Rashid. Lelaki itu mengambil lalu menelitinya.

“Alah, ini aje kau nak bagi. Tak adalah penting sangat sampai nak terkejar-kejar aku. Bukannya tak boleh bagi nanti. Dah tau aku nak cepat pun nak kejar aku lagi,” dengus Rashid.

Hans mendengus kasar. “Kau pun nak cepat, kan? Apa lagi? Blah la,” sinis Hans membidas. Geram betul dengan sikap Rashid yang sombong tidak bertempat itu. Dia tidak menunggu lama, terus melangkah pergi. 

“Dia ingat aku nak sangat kejar dia ke? Ingat dia handsome sangat ke? Sikit pun aku tak hairan la. Perempuan lain mungkin nak kejar kau. Kalau bukan sebab surat tu… dalam mimpi pun aku tak nak tengok muka kau,” terkumat-kamit bibir Hans membebel sendirian sambil kaki melangkah laju menuju ke kafeteria. 

Benji yang sedang melepak di bangku kayu sambil merokok terpandang Hans yang sedang melangkah laju tanpa melihat ke arahnya. Wajah yang masam mencuka itu menarik perhatian. 

‘Apasal dengan minah ni?’ Puntung rokok yang hanya separuh terbakar dilenyek ke tanah. Dia berlari anak menyaingi langkah gadis itu.

“Laju jalan. Slow la sikit,” perli Benji. Tidak diendahkan gadis itu. Lalu tangan gadis itu dicapainya, menghalang dari terus melangkah. Hans memandang wajah Benji yang sedang tersengih bagai kerang busuk. Hendak marah pun tak jadi. Ish, mamat ni!

“Nak apa?” Hati masih panas dengan layanan Rashid yang sombong.

‘Nakkan kau,’ balas Benji. Balasan yang hanya mampu bergema di dalam hati buat masa ini.

“Nak tau… apasal muka tu masam aje? Boleh senyum tak? Baru nampak manis sikit,” tegur Benji lembut. 

“Aku panas hati ni. Apasal mamat tu kerek sangat entah? Dia ingat dia bagus sangat agaknya,” adu Hans sambil mulutnya tercebik-cebik geram. Rasa terhina bila dilayan sebegitu oleh Rashid. Sakitnya hati!

“Mamat mana pulak ni?” Pelik. Jarang sekali untuk melihat gadis itu terbakar begini. 

Hans yang dikenalinya jenis yang ceria. Happy go lucky. Jarang menunjukkan masalah. Sama ada tidak punya masalah atau dia lebih suka menyembunyikan masalah. 

“Kerek betul. Menyampah aku tengok. Ingat aku ni dah hilang akal agaknya nak suka-suka kejar dia. Kalau bukan sebab program ni tak ingin aku,” omel Hans geram. 

Benji tersenyum lebar mendengar omelan gadis itu. Marah betul gayanya. Siapa pula orang yang berani menghilangkan keceriaan di wajah itu?

“Kau ni cakap sorang-sorang buat apa? Bagitahu aku siapa orangnya. Biar aku debik sikit. Baru puas hati.” Kata-kata Benji membuatkan Hans terdiam. 

‘Aik, dah lebih garang dari aku ni,’ desis hatinya. “Si Rashid tulah. Kerek semacam dengan aku. Aku kejar dia tadi ingat nak bagi surat pasal sponsorship kita tu. Dia boleh pulak sound aku ni kacau dia. Panas hati betul. Ingat dia ketua dia dah cukup bagus agaknya,” cerita Hans. Berkerut-kerut mukanya tidak puas hati. Kembang-kempis hidung menahan amarah di dada.

“Alah, mamat tu memang macam tu. Bukan dengan kau aje dia macam tu. Dengan aku pun sama. Mamat bajet bagus. Debik sekali baru tau berubah agaknya,” sokong Benji. Dia sememangnya tidak pernah menyukai Rashid. Anak orang kaya yang berlagak. Ada harta sikit, rupa sikit, terus angkat diri lebih daripada orang lain. 

Setelah diluahkan apa yang terbuku di dada, marahnya terasa reda sedikit. Baru tersedar betapa laparnya perut saat ini. Berdendang lagu Bougainvillaea nyanyian kumpulan Spring. Pedih. Perit. Gastriknya menyerang lagi. Ditekan-tekan perut menahan sakit.

“Dah ni kenapa pulak?” Soal Benji resah melihatkan Hans yang seperti orang dalam kesakitan.

“Tak ada apa. Gastrik kot. Aku kalau lambat makan memang macam ni.”

“Laaa… kenapa kau tak cakap dari tadi? Jom makan kat kafe,” ujar Benji memimpin Hans menuju ke kafeteria. 

SESAMPAINYA di kafeteria, Benji terus ke kaunter untuk membeli makanan. Nasi putih, ayam goreng dan buncis menjadi pilihan. Dia sudah hafal jenis lauk-pauk yang akan dipilih temannya itu. 

Boleh dikatakan mereka akan makan bersama setiap kali habis bermesyuarat tentang program-program yang dirangka untuk persatuan. Benji menatang dulang menghampiri meja yang diduduki Hans. Gadis itu sedang menongkat dagu sambil tangan kiri menekan-nekan perut. Dulang yang ditatang diletakkan di atas meja.

“Oit, yang kau termenung lagi apahal? Makanlah wei,” sergah Benji melihatkan Hans yang masih termangu tidak berkutik sedari tadi. Muka nerd itu masih berkerut-kerut.

Satu tumbukan hinggap di bahu lebar Benji. Kali ini wajahnya pula berkerut-kerut menahan sakit. Terasa sengal bahunya dek tumbukan itu.

“Kau ingat tak sakit? Apahal kau tumbuk aku? Main kasar nampak,” marahnya tidak puas hati. Tak ada angin tak ada ribut, dapat penumbuk pulak.

“Oh, kau tak ingat pulak jantung aku yang nak gugur ni. Suka sangat sergah-sergah orang. Ingat jantung aku ni sihat sangat ke? Mau gol aku kalau hari-hari macam ni,” tempelak Hans geram. Dia paling tidak suka disergah begitu. 

Sorry. Aku tak nak kau asyik teringatkan si Rashid tu sampai tak ingat makan. Aku tahu dia tu handsome. Tapi kau perlu makan jugak. Dahlah gastrik.”

Hans sudah mula menayang penumbuk. Mahu sahaja dilepaskan penumbuk kedua untuk lelaki itu. Kalau tadi bahu kanan, kali ni biar bahu kiri pula. Biar seri. Kalau lebam, biar dua-dua sekali biru.

“Cukup… cukup! Aku gurau pun nak ambik hati,” ujar Benji. Tangannya tergawang-gawang menyerah kalah.

“Masalahnya kau tu gurau kasar. Patutnya aku debik mulut kau tu. Baru tau diam.” Hans menarik muka cemberut. Sudahlah diserang gastrik, jantung pula terasa hendak gugur. Ditambah dengan ‘nostalgia’ bersama Rashid tadi, memang menguji kalbu rindu. 

“Dah kau tu asyik berangan dari tadi, manalah tau kau teringatkan dia.” Benji masih lagi cuba menduga kesabaran Hans yang semakin menipis.

“Ishh, kau ni saja nak cari lebam kat mulut ke? Kalau Rashid aku tak debik… engkau yang makan penumbuk nanti. Dah dapat satu pun tak cukup-cukup,” marah Hans. Benji memang suka menyakat. Selalunya dia akan melayan segala gurauan Benji. Memang mereka sering bergurau kasar. Kali ini anginnya tidak elok untuk melayan usikan Benji. Mulut mungkin yang menuturkan marah, di hati langsung tidak berbekas.

“Asyik marah aje. Kau period, erk?” Soalan itu dibalas dengan tumbukan si gadis.

“Adeh, sakit la,” Benji mengaduh kecil seraya menggosok-gosok bahu kiri yang terasa sengal. Penangan gadis kecil molek itu boleh tahan juga. 

‘Hish, karang aku debik jugak perempuan ni. Tapi mak kata tak boleh pukul perempuan. Mujur aku ni gentleman. Kalau tak nasib kaulah, Hans.’

“Kau pernah dengar tak pepatah melayu? Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Mulut kau langsung tak pakai insurans.” 

“Lapar betul perut aku ni,” ujar Hans selamba. Tangan pantas mencapai pinggan nasi lalu dia makan dengan lahapnya. Langsung tidak peduli untuk menjaga kesopanan di hadapan Benji.

‘Huh, tak sopan langsung. Macam orang tak makan seminggu. Mujur aku jenis tak kisah. Kalau tak, terus reject,’ desis hati Benji. Dia tersenyum lebar, turut menjamah makanannya.

Sambil makan, Benji mencuri pandang pada si gadis di hadapan mata. Hannissa Amsyar seorang gadis yang bijak, selamba, merendah diri dan happy go lucky. 

Personaliti gadis itu menarik Benji untuk berkawan rapat dengannya. Sikap selamba Hans sering memecahkan perutnya. Gadis itu tidak pernah mengambil hati dengan gurauan kasar. Kalau gadis lain belum tentu boleh diajak bergurau begitu.

Sememangnya sifat dan fitrah seorang perempuan berkait rapat dengan kelembutan. Bukan dia tidak suka perempuan yang lemah lembut. Namun dia tidak pandai untuk berpura-pura mengambil hati perempuan. Lebih suka berterus-terang. Lalu dia senang berkawan dengan Hans yang nyata boleh menerima caranya. 

Dari segi penampilan, gadis itu tidaklah menarik hati berbanding gadis-gadis sekarang yang lebih up to date. Pakaian yang dikenakan kelihatan lusuh. Jeans yang dipakai pula agak besar. Tak padan dengan tubuh genit gadis itu. 

Rambut Hans yang separas bahu keperangan kelihatan agak kasar. Mungkin bahana mewarnakan rambut. Tak mungkinlah itu rambut sebenarnya. 

Cermin mata berbingkai penuh berwarna hitam yang dipakai membuatkan Hans kelihatan seperti budak nerd. Sesuailah dengan gelaran pelajar terbaik yang disandang. 

Semua itu bukan ukuran. Baginya Hans mempunyai hati yang cantik. Itu sudah cukup. Kecantikan luaran akan pudar suatu hari nanti. Yang kekal hanya hati yang cantik. Lalu hanya gadis yang punya kecantikan di hati akan menjadi pilihannya.

“Kau nak makan ke tak nak? Dari tadi asyik tenung aku. Ingat muka aku ni pelik sangat ke?” Disergah Benji membuatkan lelaki itu terkulat-kulat sendiri.

Bukan dia tidak perasan sedari tadi lagi Benji mencuri pandang ke arahnya. Apa yang dipandang pun dia tidak tahu. Bukan cantik pun. Dia tahu lelaki itu sudah tidak berpijak di bumi yang nyata. Sudah hilang entah ke mana. Nasi di pinggannya sudah licin. Hanya tinggal tulang sahaja sedangkan nasi di pinggan Benji baru sedikit sahaja luaknya.                                                              

Tangan mengurut-urut dada. Terasa mahu gugur jantung disergah begitu.. Entah bila masa pula dia boleh hilang dari bumi ini pun dia tidak tahu. Itulah, khusyuk sangat tenung anak dara orang. Kalau emak tahu mesti kena bebel lagi. 

“Kau ni kalau berdendam pun tak payah nak sergah aku macam tu. Mau luruh jantung ni.”

“Kau buat kat aku tadi kau tak ingat pulak. Itu aku belum berkira lagi dengan kau tenung muka aku sampai tak ingat dunia. Tau la aku ni tak cun. Tak payah nak tenung aku macam tu sekali. Ingat aku datang dari Pluto agaknya.”

“Aku tenung sebab cantiklah cik kak oiii. Kalau tak cantik buat apa aku nak tenung. Menikmati keindahan ciptaan Tuhan.”

Sedikit pun dia tidak percaya dengan omong kosong itu. Dia masih sedar diri. Masih lagi berpijak di bumi yang nyata. Tidak mudah melambung dek pujian. Sedar dirinya tidak secantik mana. 

“Dah… kau tak payah mengarut. Aku nak gerak dulu. Lepas ni aku ada kelas lagi. Pasal program tu nanti kau bagi aku surat kalau nak keluarkan duit,” tukas Hans. Dia memegang jawatan sebagai bendahari program kali ini. Manakala Benji sebagai penolong ketua program.

“Okey, nanti apa-apa hal kau roger aku.” Hans hanya mengangguk dan terus berlalu meninggalkan kafeteria itu. Dia perlu cepat. Takut pula tidak sempat menunaikan solat zohor sebelum masuk ke kelas. Jam sudah menunjukkan hampir ke angka dua.

PUAN HASHIMAH yang khusyuk bersyarah di hadapan dipandang sepi. Kebanyakan pelajar mungkin tampak seperti memberi tumpuan seratus peratus sedangkan otak mereka sebenarnya sudah mula menerawang. 

Subjek Accounting Theory adalah subjek yang paling berat bagi semester akhir ini. Jika tidak memahami sebaiknya kemungkinan untuk gagal subjek itu adalah sangat tinggi.

Hans menutup buku melihatkan pensyarahnya sudah memadamkan PowerPoint yang digunakan untuk mengajar mereka tadi. Dia tahu sudah tiba masanya untuk Puan Hashimah bersyarah tentang Islam pula. 

Pensyarahnya itu agak Islamic sedikit. Bertudung labuh hingga ke bawah pinggul. Hampir sama labuh dengan baju kurung yang dipakai. Selayaknya menjadi ustazah bukan mengajar subjek akaun. 

Selasa lalu merupakan hari Maulidur Rasul. Pasti isu itu yang akan dibangkitkan kali ini. Melihatkan Puan Hashimah melangkah ke arah barisan meja yang diduduki budak lelaki hatinya bertambah senang. Puan Hashimah berdiri berhadapan dengan Bardrizal. 

Hans tersenyum sinis. Dia tidak pernah sukakan lelaki itu. Siapa yang tidak kenal dengan Bardrizal? Lelaki itu terkenal dengan kekayaan bapanya. Juga terkenal dengan kemalasan dan sikap suka berfoya-foya dengan perempuan serta kegagalan dalam pelajaran. Anak manja. Seorang lelaki yang lemah. Sangat kecil lelaki itu di pandangan mata Hans. Hanya tahu menghabiskan harta orang tua!  

Bardrizal mengingatkan Hans kepada abangnya. Dasar lelaki lemah. Tidak tahu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Hanya tahu menyusahkan ibu bapa. Mementingkan diri. Langsung tidak ada perasaan bersalah. 

Bagi Hans lelaki sepatutnya menjadi tempat bergantung. Menjadi dahan yang kuat bagi keluarga. Merekalah yang menjadi tunggak harapan. Sayang sekali abangnya tidak begitu. Hanya tahu mengikis duit emak dan ayah. 

Sedikit sebanyak kebencian Hans pada abangnya terbias pada lelaki itu. Hatinya tidak suka melihat lelaki lemah seperti itu. Tiada gunanya mereka di dalam dunia ini. Hanya tahu menyemak sahaja. Tidak mendatangkan hasil!

Bardrizal tua dua tahun daripadanya. Sudah terlajak dua semester dari trek sebenar kerana terpaksa mengambil subjek yang gagal untuk kali kedua. Orang lain ambil ijazah dua tahun setengah. Dia pula tiga tahun setengah. Sangat merugikan umur. 

Untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah lelaki itu terpaksa menanti selama setahun barulah rayuannya diterima. Itupun mungkin menggunakan pengaruh kuat Tan Sri Rizqi.

Mata Hans tidak lepas dari memandang wajah Bardrizal yang sudah berubah apabila Puan Hashimah berdiri dihadapannya. Tanpa sedar dia tersenyum lebar. Hati senang bila melihat wajah Bardrizal seperti cuak untuk disoal. Tahu takut.

“Kamu Bardrizal. Kamu tahu ke kenapa kita sambut Maulidur Rasul ni?” 

Soalan yang dilontarkan itu membuatkan Bardrizal resah sendiri. Dia menoleh ke arah teman-temannya mengharapkan jawapan. Sesungguhnya dia langsung tidak pakar dalam hal agama. Kalau bab-bab agama ni bukannya boleh dihentam sesuka hati. 

“Errr… puan… errr…” Tergagap-gagap Bardrizal untuk menjawab. Disigung teman baiknya, Aiman agar membantu. Kepala yang tidak gatal digaru seperti orang bodoh.

“Apasal aku pulak yang kena?” sungut Aiman. Namun bibirnya laju memberi jawapan memuaskan hati untuk didengar Puan Hashimah. Puan Hashimah terangguk-angguk setuju.

“Kamu ni Bardrizal… soalan simple macam ni pun kamu tak tahu nak jawab,” tegur Puan Hashimah lembut. Bardrizal hanya menikus, tidak berani menjawab.

“Apasal kau tengok Bard macam tu? Taulah dia tu handsome. Tapi tak payah nak usha sangat. Karang jatuh hati kau yang susah.” Wawa di sebelah menegur Hans membuatkan gadis itu terpinga-pinga.

“Hah, mana ada. Kau ni memandai aje. Aku tengok puanlah. Bukan mamat tu. Tak ada kerja aku nak usha mamat macam tu. Tak ada hasil langsung,” dalih Hans.

“Apa pulak tak ada hasil. Banyak hasilnya. Budak tu anak lord kot. Kalau dapat dah tak payah susah-susah nak kerja cari duit,” sampuk Beton yang turut mendengar perbualan antara Wawa dan Hans. Tahu pula berjaga. Selalunya tahu membuta sahaja dalam kelas.

“Apa guna aku belajar tinggi-tinggi kalau nak harapkan duit lelaki? Aku tak suka lelaki pemalas macam dia. Kalau setakat nak bergantung hidup pada harta mak ayah baik tak payah. Bukan dia yang kaya tapi mak ayah dia. Baik aku mengurat si ayah. Dah tentu ayah dia yang kaya. Buat apa ambil anak yang cuma menumpang senang,” bidas Hans. Nada suara diperlahankan. Takut pula menarik perhatian pensyarahnya itu. Tak pasal-pasal dia pula yang disoal nanti.

“Alah, nanti harta ayah waris ke anak jugak. Dia tu anak tunggal tau tak. The sole heir. Segala harta Tan Sri Rizqi tu akan jatuh kat dia tau. Ni kira long term investment kau,” tokok Wawa pula. Dia sudah tersengih-sengih dengan Beton. Suka benar dengan idea mereka agaknya. Hans mencebik tidak setuju. 

Sedikitpun dia tidak termakan dengan usul mereka berdua. Dia tidak akan sukakan lelaki yang tidak tahu berdikari. Baginya lelaki seperti itu tidak layak untuk bergandingan dengannya. 

Kalau dia seorang perempuan mampu berdiri di atas kaki sendiri, takkanlah lelaki yang dianugerahkan dengan sembilan akal dan dikurniakan dengan kekuatan tenaga yang lebih dari seorang perempuan tidak mampu menongkah arus dunia ini untuk berjaya. 

Bukankah wanita itu dikatakan kaum yang lemah? Dan lelaki itu kaum yang hebat. Bukankah lelaki itu pelindung kaum wanita yang lemah? Lalu kenapa hari ini semakin ramai wanita yang lebih berjaya dari lelaki? Kenapa semua ini berlaku? 

Lelaki sekarang sudah tidak lagi berpegang pada prinsip sebagai pelindung kaum yang lemah. Tidak lagi tahu untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai tempat bergantung. Bukan lagi dahan untuk berpaut.

Sesekali mata mengerling ke arah Bardrizal yang sedang khusyuk melakukan sesuatu. Langsung tidak memberi perhatian pada Puan Hashimah yang masih lagi memberi ceramah agama di hadapan. 

Hans mengecilkan pandangan untuk mengetahui apa yang sedang dilihat oleh Bardrizal hingga asyik tertunduk-tunduk kepala lelaki itu. Rupanya lelaki itu sedang sibuk mengulit PDAnya.  Sedang menghantar teks pesanan ringkas kepada awek tercinta agaknya. Entah kenapa hatinya bertambah menyampah dengan gelagat lelaki itu. Hanya itukah sahaja yang Bardrizal tahu? Hanya tahu melayan perempuan. 

Kalau diikutkan wajah Bardrizal tidaklah sekacak mana. Masih ada lagi lelaki lain yang mampu menyainginya. Tubuh yang tinggi lampai dan sasa telah menjadikan Bardrizal pakej yang sempurna. Pakej yang menjadi idaman gadis-gadis pingitan. Rasanya semua gadis mengimpikan lelaki idaman yang punya tubuh badan seperti itu. Seperti model iklan seluar dalam.

“Sudah-sudahlah tu tengok. Dari tadi asyik tengok si Bard tu. Taulah dia tu handsome,” tegur Wawa yang mula mengemas barang di atas meja lalu dimasukkan ke dalam beg kuliah. Hans yang masih terpinga-pinga memandang Wawa kosong. Baru tersedar yang sedari tadi dia asyik merenung lelaki itu.

‘Aduh, macam mana boleh terleka ni. Bodoh betul,’ Hans mengutuk diri. Bibir tersenyum sumbing lalu tangan laju memasukkan buku teks Accounting Theory ke dalam beg. 

“Kau usha si Bard tu ke?” Yati yang sudah siap menggalas beg bertanya. Hans menarik muka. Mulalah nak bahankan orang.

“Ish, korang ni. Aku bukan tengok dialah.” “Tak payah nak tipu. Dari tadi lagi kau asyik tengok dia. Apahal hari ni kau asyik usha dia? Dia dah terlebih handsome ke hari ni?” Kali ini Beton pula menyibuk. Tidak ingin ketinggalan. 

“Ish, slow sikit suara kau tu. Nanti habis semua orang tau. Buat malu aku aje,” dengus Hans geram. 

Dia marahkan diri yang terleka merenung anak teruna orang. Mujurlah lelaki itu tidak perasan. Kalau tidak mahu tebal muka seinci. Tidak pasal-pasal dia dicop syok sendiri. Masakan enggang bisa terbang bersama pipit. 

Bardrizal memang tidak mungkin tersenarai dalam lelaki idamannya. Dan dia juga tahu dirinya tidak mungkin diminati lelaki itu. Dia masih sedar diri. Dia mungkin punya akal yang bijak namun tidak punya rupa paras yang mampu menarik perhatian lelaki. Sekurang-kurangnya bukan sekarang. 

“Kau minat Bard ke?” Beton, Wawa dan Yati menyoal serentak. Hans mengeluh. Tak habis-habis lagi rupanya. Masih cuba mencungkil rahsia hatinya.

“Taklah. Muka dia tu sebijik dengan mamat yang pernah pinang aku dulu. Tu yang aku asyik tenung dia tu. Terkenang nostalgia lama,” balas Hans selamba. Entah dari mana dikutip cerita itu dia sendiri tidak tahu. Yang penting mulut mereka bertiga perlu ditutup rapat.

“Kau biar betul? Ish, susah nak percaya ni,” ujar Beton sambil mengusap-usap dagu tidak berjanggut. Musykil.

“Betul la tu. Kau ingat aku ni tak laku sangat ke? Tahulah aku ni tak cun. Sampai hati korang ingat aku ni tak ada market,” ujar Hans penuh yakin. Sengaja dipamerkan riak sedih di wajah ingin memancing simpati.

“Biar betul kau ni. Muka dia sebijik si Bard tu? Handsomenya. Tapi kau kata kau single,” tingkah Yati masih ingin mengorek cerita. Sukar untuk dipercayai.

“Aku dah tolak pinangan mamat tu.” Bulat mata mereka bertiga mendengar jawapan itu. Semudah itu menolak pinangan lelaki kacak?

“Apasal kau tolak pulak? Ish, sayangnya,” sampuk Wawa. Wajahnya kelihatan cukup kecewa. Macam dia pula yang menolak pinangan itu. Mahu ketawa pun ada melihat gelagat teman-temannya.

“Aku kan study lagi. Dia pinang aku waktu tu aku diploma lagi. Takkan nak suruh dia tunggu. Tak baik buat orang tunggu lama-lama. Aku pun tolak la. End of the story. Dahlah korang jangan sedih-sedih. Kalau ada rezeki, aku kahwin dengan mamat handsome jugak. Janganlah risau. Kita balik dulu.” Hans menepuk-nepuk bahu Wawa yang kelihatan kecewa dengan cerita pinangan ditolak itu.

“Susah nak percaya ni,” omel Beton sendirian. Tetapi masing-masing terpaksa menerima cerita yang disampaikan oleh Hans. Tragis betul cerita itu. Mereka melangkah ke kereta kancil milik Wawa. Hanya Wawa yang memiliki kereta dan kereta itulah yang membawa mereka ke mana-mana destinasi yang diinginkan.

BARDRIZAL merebahkan tubuhnya di katil bujang milik temannya Rafiq. Beginilah selalunya bila masih belum terasa ingin pulang ke rumah. Setiap hari kerjanya melepak dengan teman-teman sekelas. Hanya pulang ke rumah di Damansara Utama setelah malam semakin menyepi. 

Rafiq yang melihat gelagat temannya itu hanya membiarkan sahaja. Lalu dia menempel di sebelah Aiman yang sudah hampir terlelap.

“Oit, kau ni potong stim betul la. Aku baru nak terlelap ni,” rungut Aiman. Tidak selesa apabila Rafiq tiba-tiba menempel disebelahnya. Sempit. 

Bayangkan katil bujang diasak oleh dua orang lelaki. Lainlah perempuan yang kecil molek sahaja tubuhnya. Dikerling katil Rafiq yang sudah dimonopoli Bardrizal. Patutlah Si Rafiq tiba-tiba datang menempel. 

“Alah, kongsi-kongsilah, bhai. Lu kasi kita punya bro ni lepak kejap,” ujar Rafiq selamba. Aiman sudah terasa rimas. Lainlah kalau perempuan yang menempel di sebelahnya. Kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. 

Wajah Mimi kekasih hati sudah terbayang di mata. Kalau Mimi, nak tidur di atas badannya pun tak mengapa. Dia sanggup menjadi tilam empuk untuk pujaan hatinya itu.

“Nak lepak mana malam ni, bro?” Soalan Rafiq membuatkan kelopak mata Bardrizal yang sudah tertutup terbuka semula. 

“Hurm… tempat biasa best jugak. Nak ajak awek mana pulak malam ni?” Terasa segar mata bila bercakap tentang tentang aktiviti kegemarannya.

“Lepak Zouk ke?” Aiman pula mencelah. Walaupun mata sudah kuyu mulut masih ringan untuk turut sama menyampuk.

“Zouk style sikit. Malas nak masuk tempat lain. Tak bersih sangat. Tak pasal-pasal kena serbu. Aku nak enjoy tapi tak adalah nak terbabit sama kalau kena serbu.”

“Malam ni aku ada date dengan Mimi. Macam tak boleh join aje,” ujar Aiman sambil tangannya memicit-micit dahi seolah-olah pening berfikir untuk membuat pilihan.

“Lepaklah Man. Dating dengan Mimi tu boleh cancel. Zouk lagi best,” pujuk Rafiq. 

“Mau muncung bibir comel dia tu kalau tak jadi jumpa malam ni. Hati awek kena jaga, Fiq,” balas Aiman.

“Susah-susah sangat kau bawak aje dia join malam ni. Aku tak ada hal. Nak bawak awek silakan,” cadang Bardrizal. Dia mencapai gitar di dinding lalu jemari mula memetik tali gitar menghasilkan melodi indah. Lagu kumpulan Qiara, Hanya Padamu dimainkannya.

“Wooo… aku tak bawak awek pergi tempat-tempat macam tu. Mimi tu aku nak jadikan isteri tau. Kalau nak jadikan isteri kena jaga baik-baik. Tak boleh bawak ke tempat-tempat tak elok. Rosak nanti.”

Sudah menjadi prinsipnya untuk menjaga gadis yang bakal menjadi isteri sebaik-baiknya. Dia tidak akan merosakkan gadis seperti Mimi. Mimi bukan jenis gadis liar yang selalu diangkut keluar ke kelab bersama teman-teman. Gadis-gadis seperti itu hanya layak untuk dibuat teman bersosial. Tetapi gadis sebaik dan selembut Mimi barulah layak dijadikan isteri.

“Tak ada beza pun bagi aku,” tukas Rafiq. Langsung tidak setuju dengan pendapat Aiman. 

Jika dia sudah punya kekasih hati, akan dibawa ke mana sahaja untuk menemaninya. Tidak kiralah kelab malam sekalipun. Selagi dia ada di sisi gadis kesayangannya, dia akan pastikan gadisnya selamat. Cuma buat masa ini hatinya belum dimiliki oleh sesiapa.

“Banyak bezanya. Aku hanya pilih gadis yang baik untuk jadi isteri tau. Bukan macam awek yang kita selalu angkut tu. Kalau perempuan macam tu aku jadikan isteri… hancur anak-anak aku nanti. No manners,” balas Aiman mempertahankan prinsipnya.

“Huh, kau cakap macamlah kau tu baik sangat,” selamba sahaja Rafiq mengutuk. Berubah keruh wajah Aiman dibuatnya. Bardrizal sudah merasai ketegangan di antara kedua sahabatnya mula masuk campur.

“Relaks la, bro. Masing-masing ada prinsip. Respect each other. Prinsip hidup aku… to have fun. Enjoy. Tak payah pening-peningkan kepala. Okey, malam ni korang ajak korang punya partner. Ajak yang hot sikit. Jangan bikin malu. Aku nak ajak Tatty. Dah lama dia tunggu aku. Malam ni turn dia pulak.”

“Kenapa kau tak ajak Hans?” Soalan yang dilontarkan Aiman membuatkan Bardrizal keliru. Siapa pula yang dimaksudkan oleh Aiman? 

“Kau biar betul. Takkan kau tak kenal budak tu?”

“Hans mana pulak ni? Seingat aku tak pernah pulak aku simpan perempuan nama Hans.”

“Kau ni takkan best student batch kita kau tak kenal? Kau biar betul,” sampuk Rafiq. Mahu terbeliak mata Bardrizal apabila otaknya dapat menangkap siapa yang dimaksudkan oleh teman-temannya itu.

“Kau dah gila ke Man? Apasal tak ada angin tak ada ribut kau sebut nama budak nerd tu?” Dah gila agaknya temannya itu. Tak pasal-pasal si budak skema itu dikaitkan dengannya. Langsung tidak pernah terlintas nama itu di fikirannya.

“Manalah tahu kau nak ajak dia keluar malam ni. Tadi kat kelas bukan main lagi dia tenung kau. Dah tangkap cintan dengan kau agaknya,” balas Aiman tersenyum sinis. 

Mungkinkah gadis seperti itu menjadi pilihan Bardrizal? Terbayang imej Hans di mata. Gadis berambut blonde dengan pakaian lusuh dan cermin mata berbingkai penuh berwarna hitam. 

Kalau diikutkan rambut blonde sudah ala-ala minah salleh. Namun penampilan Hans yang selekeh itu langsung tidak menarik minatnya apatah lagi Bardrizal yang punya citarasa tinggi terhadap seorang perempuan. 

Bayangkan Bardrizal digandingkan dengan gadis seperti Hans. Mahu terseksa hidup temannya itu. Aiman sudah tersenyum lebar membayangkan imej Bardrizal berdiri bersebelahan Hans. Sangat dramatik. 

“Hoi, apa yang kau senyum-senyum tu? Tak payah sangat nak bayangkan aku dengan minah tu. Not my taste,” tempelak Bardrizal bengang. Aiman sudah tidak dapat menahan tawanya dari tersembur.

Kalaupun gadis itu sudah tangkap cintan dengannya, tidak bermakna dia akan melayannya. Tidak mungkin gadis skema seperti itu menjadi teman wanitanya. Langsung tidak sesuai. 

Rafiq sudah terkekek-kekek ketawa melihat wajah Bardrizal yang merah padam menahan marah diikuti oleh Aiman. Dia juga tidak dapat membayangkan Bardrizal digandingkan dengan gadis skema itu. So funny! 

“Seronok nampak korang gelakkan aku,” sindiran Bardrizal itu membuatkan tawa mereka terhenti. Rafiq sudah bangun menghampiri temannya itu lalu ditepuk-tepuk bahu Bardrizal seolah-olah cuba menenangkannya.

“Relakslah, bro. Kitorang baru nak seronok sikit. Bukan selalu dapat gelakkan kau,” ujarnya bersahaja.

“Kepala hotak kau. Karang aku cancel malam nanti punya program,” ugut Bardrizal bengang. Tidak suka bila diri dipadankan dengan gadis itu.

“Okey. Relaks, bro. Sensetif pulak. Period agaknya,” ngomel Rafiq sambil tersengih-sengih. Aiman pula sudah mula melelapkan mata. Penat ke kelas mula menghantui mata. Letih betul. Malam nanti hendak melepak pula.

HOW dare you! Dasar perempuan tak guna. Bard milik aku. Bukan kau,” tengking Sara. Mata berapi-api melihat perempuan gedik yang sedang berkepit dengan Bardrizal. Berani betul merampas haknya. 

Bardrizal yang sedang bersantai di bilik bacaan bersama gadis baru pilihannya agak terkejut dengan kedatangan tetamu yang tidak diundang. Suara lantang Sara membuatkan mereka yang sedang mengulangkaji di situ terganggu, mengerling marah. 

“You… Abang Bard dah pilih I. Kenapa you nak terhegeh-hegeh kat sini lagi? Just walk away,” sinis suara Diana membidas. Dia mengemaskan pautannya di lengan Bardrizal. Sengaja ingin memarakkan amarah Sara. Tanpa segan silu kepala melentok manja di bahu Bardrizal. 

Bardrizal pula sudah panas punggung. Tidak sedap hati melihat wajah Sara yang kian tegang. Apapun mungkin terjadi. Dia sudah memutuskan hubungan dengan Sara minggu lepas. Nampaknya Sara seperti tidak ingin melepaskannya pergi. 

“Perempuan tak guna.” Laju sahaja tangan Sara menarik rambut panjang Diana. Diana yang terkejut dengan tindakan berani itu menjerit-jerit sakit. Merayu-rayu minta dilepaskan. Berpinar mata menahan sakit. 

“Rasakan… dasar perampas.”

Stop it, Sara!” bentak Bardrizal keras. Dia cuba meleraikan cengkaman Sara pada rambut Diana. Gagal. Cengkaman kuat itu membuatkan mata Diana merah berair. 

“Lepaslah Sara. Jangan buat macam ni.” Puas cuba melepaskan cengkaman Sara, dia mengangkat tubuh Sara pula agar menjauh dari Diana. Sara masih berdegil tergagau-gagau berusaha untuk mencapai rambut Diana buat kesekian kalinya. Diana pantas berlari menjauh. Takut benar mendapat habuan sekali lagi. 

“Lepaskan I. Lepaskan I!” Sara menjerit-jerit macam orang histeria. Bardrizal meletakkan Sara agar dapat menjejak tanah semula. Turun naik nafas Sara akibat marah yang menggunung. 

“I lepaskan you kali ni. Jangan nak buat perangai lagi depan I!” Amaran keras daripada Bardrizal dibalas dengan jelingan tajam gadis itu. 

“Sanggup you tinggalkan I sebab perempuan tu. Kalau cantik I boleh terima lagi. She’s suck.” Di matanya Diana langsung tidak mampu menandinginya. 

“Dia cantik atau tak… biar I aje yang tentukan. I dah bosan dengan you. It’s over. To ease your pain, when the time comes… I will leave her just like I did to you. Jadi, you tak payah bising-bising sebab belum ada perempuan yang mampu berada di sisi I untuk tempoh yang sangat lama.” Selamba sahaja Bardrizal menuturkan kebenaran yang tidak pernah cuba disembunyikan.

Kembang kempis hidung Sara menahan marah. Ringan tangannya melayang ke pipi Bardrizal. Malang sekali dengan mudah ditangkap oleh Bardrizal. 

Bardrizal tidak akan sesekali membiarkan mana-mana perempuan menampar pipinya. Dia punya status untuk dijaga. Ditampar oleh perempuan bukan caranya.

Don’t you dare!” Keras suara itu. Gerun dengan renungan penuh amaran itu buat Sara menarik kembali tangannya lalu meninggalkan Bardrizal dengan hati mendongkol marah. Sengaja dihentak-hentak kaki menunjukkan rasa tidak puas hati yang berbuku. 

Bardrizal hanya mampu menggeleng-geleng kepala. ‘Mujur aku tinggalkan dia awal-awal lagi. Tak kuasa aku perempuan macam ni. Ganas!’ Sebaik Sara hilang daripada pandangan, Bardrizal terus mendapatkan Diana. Gadis itu perlu dipujuk hatinya. 

Dari jauh rupanya ada mata yang memandang dengan rasa jengkel. Rasa menyampah kerana ada perempuan yang sanggup merendahkan martabat diri demi seorang lelaki yang nyata hanya ingin mempermainkan perasaan perempuan.

Wawa, Yati dan Beton yang turut menonton merasa kagum. Kagum melihat perempuan sanggup bertarik rambut untuk merebut lelaki sekacak Bardrizal. Bagi mereka ianya normal untuk lelaki seperti Bardrizal.

“Gilalah. Drama habis,” tutur Beton. 

“Tengoklah siapa yang direbutkan. Tak hairan la,” komen Yati pula. 

“Kalau aku pun mungkin aku sanggup botakkan perempuan tu sebab rampas Bardrizal daripada aku,” sela Wawa. 

“Korang ni… mamat tu cuma nak mainkan perempuan-perempuan tu. Apa yang hebat sangat entah pasal mamat tu sampai semua perempuan tergila-gilakan dia?” Ketiga-tiga pasang mata memandang Hans.

“Dia handsome, tinggi, tough pulak tu. Bonus paling besar… kaya. Itulah kelebihan dia. Kau ni macam tak puas hati aje dengan dia?” Kening Yati bertaut. Pelik.

“Kalau dia handsome, kaya… dia boleh buat apa saja yang dia suka. Macam tu ke? Dia boleh suka-suka aje mainkan hati perempuan?” Hans tidak faham betul. Apa yang hebat sangat tentang lelaki itu? Bodohnya perempuan!

“Yang kau macam marah ni kenapa? Kau jealous ke tak dapat Bardrizal tu?” duga Beton. 

“Wek! Nak muntah aku dengar. Dahlah. Jom gerak. Tak pasal-pasal kita buang masa kat sini tengok drama free.” Yang lain akur. Mereka sebenarnya sudah terlambat ke kelas dek tertarik untuk menonton drama cinta tiada penghujungnya.

Shopping Cart
Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support
error: Content is protected !!